Ewon hargai peranan dan sumbangan warga pendidik

PENAMPANG: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick menghargai peranan dan sumbangan warga pendidik dalam melahirkan modal insan berkualiti sebagai pewaris kesejahteraan dan kemajuan negara.

Advertisements

Beliau yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, peranan dan tanggungjawab guru amat besar dan mencabar kerana mereka bukan sahaja mendidik di sekolah tetapi sebagai pengurus pelajar, pembimbing, penggalak dan penyelaras aktiviti pelajar di sekolah.

“Pengorbanan guru-guru amat besar sehingga mereka sanggup mengeluarkan duit sendiri untuk membiayai perbelanjaan di sekolah.

“Saya difahamkan majlis pada hari ini juga dibiayai daripada sumbangan guru-guru sendiri. Sebagai penghargaan kepada semua warga pendidik di Penampang saya telah memberikan sumbangan sebanyak RM15,000 sebelum ini dan pada hari ini saya menyampaikan sumbangan RM18,000 untuk membiayai perbelanjaan majlis ini.

“Pungutan daripada guru-guru itu boleh digunakan bagi melaksanakan aktiviti lain di sekolah,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi 2022 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Penampang, di Dewan SJKC Yue Min, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Sektor Perancangan PPD Penampang Germaine Marcella Sikijip dan semua pegawai-pegawai kanan PPD Penampang.

Ewon berharap, apresiasi ini akan memberikan motivasi kerja kepada semua warga pendidik PPD Penampang dalam membentuk ekosistem pekerjaan yang cemerlang, selaras dengan hala tuju kementerian dan kerajaan.

“Saya memahami keperluan pihak sekolah, sebab itu saya akan terus mencari jalan untuk meringankan bebanan pengetua dan guru-guru,” katanya.

Pada majlis itu beliau turut bersetuju menyampaikan sumbangan peruntukan wakil rakyat sebanyak RM30,000 kepada SJKC Yue Min untuk menyelesaikan keperluan sekolah itu.

Sementara itu, Germaine Marcella berkata, Majlis Apresiasi itu memberi peluang kepada setiap warga sekolah memperkembangkan bakat dan daya kreatif melalui penglibatan dalam pelbagai aktiviti sekolah.

“Penglibatan warga sekolah daerah Penampang dalam aktiviti pendidikan bukan sahaja tertumpu kepada bidang sukan dan kokurikulumm tetapi turut meliputi bidang pentadbiran, kurikulum dan hal ehwal murid khususnya di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

“Majlis Apresiasi ini dirancang khusus sebagai ganjaran kepada murid, guru dan seluruh warga sekolah yang telah berusaha gigih menyertai pertandingan dan program dalam semua aspek pendidikan sepanjang tahun lalu.

“Saya berharap majlis apresiasi ini dapat menyuntik motivasi kepada seluruh warga sekolah untuk terus kekal komited memajukan dan menaikkan imej sekolah dan kemenjadian murid setanding sekolah-sekolah hebat yang lain,” katanya.

Pada majlis itu Ewon turut menyampaikan sebanyak 263 anugerah merangkumi bidang kurikulum, kokurikulum dan pengurusan untuk kesemua 34 sekolah menengah dan sekolah rendah dalam kawasan PPD Penampang.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles