SANDAKAN: Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong bersama Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Papat, Frankie Poon menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memohon bantuan kerajaan persekutuan untuk menyelesaikan masalah air masin yang memberikan kesan teruk kepada 500,000 penduduk di Sandakan sejak lebih enam bulan yang lepas.
Vivian dan Frankie menyampaikan memorandum itu kepada Perdana Menteri semasa menghadiri sesi pertemuan antara ADUN dan Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) Sabah bersama Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH di Putrajaya pagi ini.
Sejak masalah air masin Sandakan berlaku pada November tahun lalu, pihak atasan Jabatan Air Negeri Sabah tidak dapat menyelesaikan masalah itu..
Justeru kedua-dua pemimpin Sandakan itu menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri selepas kedua-dua Vivian dan Frankie telah berulang kali membawa isu tersebut kepada kerajaan negeri namun ia masih gagal diselesaikan.
“Saya berharap kerajaan persekutuan akan campur tangan dengan segera dalam mengatasi isu ini dan mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan masalah ini sekaligus membekalkan air minuman yang selamat kepada orang ramai di Sandakan,” jelas Vivian.
Disebabkan oleh penyelenggaraan jangka panjang yang lemah dan teknologi yang tidak cukup, bekalan air Sandakan sangat tidak stabil sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Manakala loji rawatan air juga sering ditutup atau tidak berfungsi dengan sewajarnya.
Gangguan bekalan air juga berlaku hampir setiap minggu.
“Perkara ini tidak dinafikan telah memberi kesan serius kepada kehidupan seharian penduduk Sandakan.” Tambahnya.
Sejak masalah air masin dalam bekalan air di Sandakan berlaku, ramai juga yang melaporkan menghadapi simptom seperti darah tinggi, masalah buah pinggang serta alahan kulit yang membuatkan penduduk Sandakan panik dan tidak tenteram serta bimbang kesihatan mereka akan terancam.
Justeru, untuk menyelesaikan masalah ini, Vivian dan Frankie menyeru kepada kerajaan persektuan untuk mengambil langkah segera yang begitu diharapkan penduduk Sandakan.
Selain itu, pemberian peruntukan bagi dana kecemasan dan menubuhkan pasukan teknikal yang pakar bagi menyiasat dan memberikan nasihat profesional untuk menyelesaikan krisis air masin dalam masa yang secepatnya juga diperlukan dalam mengatasi isu air masin ini.
Dana itu juga perlu digunakan untuk melaksanakan penyelesaian yang disyorkan oleh panel pakar tersebut antaranya untuk menggantikan paip air berkarat yang disebabkan oleh hakisan air masin dan untuk melaksanakan program penyelesaian yang komprehensif untuk memastikan krisis air yang sama tidak berulang.
Dalam pada itu, Vivian turut menjelaskan kepada Perdana Menteri betapa mendesaknya keperluan bagi pewujudan pusat UTC di Sandakan demi menjimatkan masa rakyat Sandakan apabila membuat urusan berkaitan dengan agensi kerajaan berkenaan.