KOTA KINABALU: Isu pembinaan Patung Mazu di Kudat tidak wajar dipolitikkan oleh mana-mana pihak dan sebaliknya kajian perlu dilakukan untuk mengetahui sebab-sebab sebenar projek itu diberhentikan hampir 15 tahun lalu.
Ketua Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) bahagian Tungku Datuk Abdul Hakim Ghulam Hassan berkata kajian itu sangat penting kerana walaupun pembinaanya telah diberhentikan sejak sekian lama, tetapi kini, ada pihak cuba memulakannya semula. Katanya kajian ini juga amat perlu dilakukan demi kepentingan perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di Sabah.
“Gesaan supaya kerajaan Negeri meneruskan pembinaan patung Mazu itu seolah-olah memberi tekanan kepada kerajaan Negeri, sedangkan banyak lagi keperluan pembangunan di Sabah yang lebih mendesak dan patut diberi keutamaan.
“Kerajaan Negeri sekarang ini sedang berdepan dengan pelbagai tuntutan rakyat, terutama sekali membina dan menambah-baik kemudahan frasarana seperti jalanraya, bekalan air, bekalan elektrik dan sebagainya.
“Sekiranya kemudahan asas yang sangat penting ini tidak diberi perhatian dan keutamaan, maka harapan untuk menjadikan Sabah sebagai destinasi pelancongan yang menarik di rantau ini tidak mungkin akan tercapai.
“Justeru, kemudahan frasarana yang lebih baik bukan sahaja memudahkan para pelancong berkunjung ke daerah Kudat tetapi juga ke seluruh destinasi pelancongan di Sabah,” katanya.
Abdul Hakim mengulas kenyataan Pengerusi Badan Perhububungan UMNO Sabah, Datuk Bung Seri Bung Moktar Radin yang meminta kerajaan negeri mempertimbangkan kelulusan untuk meneruskan pembinaan projek Patung Mazu di Kudat.
Abdul Hakim berkata mungkin ada sebab-sebab munasabah di sebalik pembatalan pembinaan Patung Mazu Kudat itu 15 tahun yang lalu.
Beliau menjelaskan, bahawa penduduk Kudat telah menyuarakan kebimbangan, jika pembinaan patung itu diteruskan, akan menambah kesesakan jalanraya yang sedia ada di Kudat.
Difahamkan Kerajaan Negeri ketika itu, telah menyediakan tapak alternatif bagi projek berkenaan , tetapi tawaran itu tidak mendapat respon.
Katanya, keputusan pembatalan itu patut dihormati dan berharap semua pihak harus memberikan kepercayaan kepada pihak berkuasa untuk membuat pendirian berhubung isu berkenaan.
“Saya yakin akan kebijaksanaan Kepimpinan Kerajaan Negeri dibawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji bin Noor untuk menyelesaikan isu ini,” katanya.