Ewon sokong Penampang dinaik taraf Majlis Perbandaran

KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick menyokong penuh daerah Penampang dinaiktaraf menjadi Majlis Perbandaran.

Advertisements

Beliau yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, dalam hal ini Ahli Majlis Daerah Penampang yang baru dilantik berperanan penting membantu merealisasikan matlamat itu.

“Ahli Majlis Daerah Penampang memainkan peranan untuk melengkapkan usaha pelbagai jabatan dan agensi kerajaan negeri dan persekutuan membangunkan daerah ini.

“Barisan inilah juga yang akan menentukan perkhidmatan itu layak untuk mengangkat majlis daerah ini menjadi Majlis Perbandaran atau sebaliknya.

“Bagaimanapun sebagai rakan pimpinan di kawasan Penampang, saya menyokong sepenuhnya dan meminta pihak kerajaan Sabah supaya Majlis Daerah Penampang dinaik taraf menjadi Majlis Perbandaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Angkat Sumpah dan Penyerahan Watikah Pelantikan Ahli-Ahli Majlis, Majlis Daerah Penampang, di Hyatt Centric, di sini, pada Khamis.

Majlis itu disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.

Turut hadir Ahli-ahli Dewan Negara Senator Datuk John Ambrose dan Senator Datuk Noraini Idris; Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan Dan Perumahan Sabah, Datuk Dr. Jamili Nais, Pengerusi Majlis Daerah merangkap Pegawai Daerah Penampang, Francis Chong; Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Penampang, Robert Malangking, Datuk Donald Mojuntin; Ketua-Ketua Jabatan, Pegawai-Pegawai serta Kakitangan Majlis Daerah Penampang.

Ewon berkata, banyak isu daerah itu memerlukan perhatian, kebijaksanaan dan kepimpinan termasuk menaik taraf jalan-jalan utama, isu alam sekitar dan banjir.

“Selaku rakan pimpinan di Penampang yang berada di kerajaan persekutuan, menjadi tanggungjawab saya untuk memastikan rakan-rakan kabinet khususnya Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan dapat membantu menurunkan kemudahan-kemudahan perkhidmatan terutama peruntukan yang diperlukan oleh Majlis Daerah Penampang.

“Saya difahamkan Dewan Masyarakat Penampang pun sudah tidak digunakan dan ini juga memerlukan kerjasama serta perhatian kerajaan Sabah dan kerajaan persekutuan terutama dalam soal perbelanjaan,” katanya.

Beliau berharap semua jabatan dan agensi kerajaan negeri dan persekutuan di daerah itu dapat bekerjasama bagi memastikan Penampang menerima perkhidmatan dan pembangunan sewajarnya daripada kerajaan.

“Saya berada di sini walaupun hari ini ada satu mesyuarat di Kuala Lumpur kerana saya mahu menjadi sebahagian daripada perkhidmatan serta kepimpinan Majlis Daerah, Pejabat Daerah dan juga semua jabatan dan agensi kerajaan memberi yang terbaik kepada masyarakat di Penampang,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles