KALABAKAN: Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) disarankan agar turun padang dan turut sama dalam membantu rakyat yang memerlukan terutamanya di bulan Ramadan ini.
Saranan ini datangnya daripada Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy yang turut menyeru rakyat terutamanya di kawasan parlimen ini agar berbelanja secara berhemah sepanjang bulan yang mulia ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu berkata demikian pada satu majlis yang diadakan di Masjid Jamek, Kampung Sungai Tamang di sini kelmarin, sempena program Kembara Ramadan yang dianjurkannya.
Beliau turut melawat empat buah kampung di sini sempena program tersebut, di mana beliau telah menyampaikan sumbangan dalam bentuk barangan keperluan dapur kepada mereka yang memerlukan bersama Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah.
Setakat kelmarin, seramai 150 ketua isi rumah (KIR) yang memerlukan di sini telah disantuni dan menerima sumbangan di bawah program tersebut.
Turut bersama beliau ialah Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Sebatik, PPM Merotai, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Baitulmal Sabah Berhad serta pemimpin setempat.
Sementara itu, Andi yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan (MIDE) berkata, Kerajaan sentiasa peka dengan keadaan kemudahan infrastruktur yang memerlukan penaiktarafan dan pembaikan.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat sama dalam menjayakan program Kembara Ramadan.