SANDAKAN: Seramai 500 golongan kurang berkemampuan termasuk warga emas, anak yatim dan ibu tunggal menerima sumbangan zakat asnaf dari Ahli Parlimen Libaran Datuk Suhaimi Nasir.
Penyampaian sumbangan zakat asnaf itu telah dilaksanakan di enam buah masjid dan surau iaitu Masjid Asmaul Husna Tinusa Dua, Masjid At-Taqwa Taman Merpati, Surau Nur Aman Taman Murni, Masjid Nur Islam Kampung Batu Putih, Masjid Nur El Nizam Kampung Sungai Kayu dan Masjid Haji Sandukong Kampung Tinusa Satu.
Suhaimi yang juga Ketua Umno Bahagian Libaran turut menyampaikan sumbangan zakat, 10 pak kurma dan sejadah duduk kepada 14 buah masjid dan surau iaitu Masjid Asmaul Husna Tinusa Dua, Masjid At-Taqwa Taman Merpati, Surau Nur Aman Taman Murni, Masjid Nur Islam Kampung Batu Putih, Masjid Nur El Nizam Kampung Sungai Kayu, Masjid Haji Sandukong Kampung Tinusa Satu, Surau As-Shafie Aman Jaya, Masjid Al-Kahfi Taman Rimba, Masjid Al-Fajr Taman Fajar, Surau Kampung Pamaguan, Surau Kampung Nelayan Batu Putih, Surau Siggah Mata, Surau Sungai Obar dan Surau Sungai Korek.
Penduduk Kampung Tinusa 2, Ahlidin Arifin , 41, berkata dia bersyukur kepada hadrat Allah SWT dan gembira menerima zakat asnaf dari dari wakil rakyat mereka (Suhaimi) dalam bulan Ramadan ini.
“Saya bersyukur apabila dipanggil menerima sumbangan ini dan dapatlah sedikit sebanyak membantu bagi membeli barang keperluan untuk kami sekeluarga dalam bulan yang mulia ini”, katanya.
Sementara itu, Pengerusi Surau Nur Aman Taman Murni, Amir Hamzah Zakaria berkata sumbangan zakat, sejadah duduk dan kurma kepada surau dan masjid adalah usaha yang murni dalam mengimarahkan surau dan masjid sepanjang bulan ramadan ini.
“Kami bagi pihak Surau Nur Aman mengucapkan terima kasih dan keprihatinan YB Datuk Suhaimi Nasir untuk memberi sumbangan zakat kepada setiap masjid dan surau dalam Parlimen Libaran ini”, katanya.