KOTA KINABALU: Persatuan Alumni Kolej Teknikal Yayasan Sabah (KTYS) tidak ketinggalan dalam mengimarahkan bulan ramadan dengan mengadakan Majlis Iftar Ramadan Bersama Pelajar Asrama KTYS pada Sabtu lepas.
Seramai 143 orang pelajar asrama KTYS terlibat dalam majlis itu dengan dihadiri Ahli Majllis Tertinggi Persatuan Alumni KTYS diketuai Mohd Pkhruddin Bian selaku Presiden Alumni KTYS.
Pengisian aktiviti bermula dengan tazkirah ramadan yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Nasrun Mohd Talib memberikan perkongsian dalam menghayati bulan ramadan.
Wakil Ketua Eksekutif KTYS, Ahmad Nooramin Ismail, Dekan Hal Ehwal Akademik dalam ucapannya pada majlis itu berkata pihak KTYS sentiasa membantu alumni KTYS serta menjalin hubungan kerjasama yang erat bersama alumni KTYS.
Mohd Pkhruddin dalam ucapannya berkata majlis Iftar Ramadan ini merupakan pengisian aktiviti yang dijalankan setiap tahun dalam menyambut kehadiran bulan ramadan.
Mohd Pkhruddin juga berkata para pelajar yang telah tamat pengajian kelak boleh memdaftar menjadi ahli Persatuan Alumni KTYS.
Pada majlis itu, sumbangan duit raya telah disampaikan oleh Presden Alumni KTYS kepada para pelajar untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.