Oleh : Jaafar Abd Wahid
KOTA BELUD : Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) memainkan peranan penting membantu sekolah memacu pencapaian prestasi akademik pelajar.
Ketua UMNO Bahagian Kota Belud Azuwan Marjan Norjan berkata , kerjasama erat dan kesefahaman yang erat antara PIBG dan sekolah membolehkan setiap proses perancangan dan perlaksanaan sesebuah sekolah untuk menjadi cemerlang dalam segala aspek dapat berjalan lancar
“Ibu, bapa dan penjaga pelajar yang merupakan anggota kepada persatuan (PIBG) perlu sedar mengenai pentingnya mereka memberikan sokongan dan kerjasama dalam penganjuran sesuatu aktiviti yang dilakukan oleh pihak sekolah dimana tanggungjawab untuk melaharikan pelajar cemerlang itu tidak hanya semata-mata terletak di pihak sekolah dan guru-guru” katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat Agung (PIBG) Sk Nahaba dekat sini baru-baru ini.
Menurut beliau jika hubungan antara PIBG dengan sekolah terjalin erat, pelajar diyakini mampu menghadapi apa juga cabaran yang muncul.
Azuwan menambah keaktifan aktiviti sesekolah boleh diukur melalui peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) seiring dengan keperluan sekolah, guru dan pembangunan pelajar. Di negara ini, ada sekolah yang kelihatan aktif, sederhana aktif atau pasif bersama PIBG.
Menurut beliau, Ibu bapa perlu faham bahawa PIBG badan yang sah ditubuhkan sebagai penghubung antara ibu bapa, guru, sekolah, masyarakat dan pelajar. Komitmen, kerjasama dan sumbangan pelbagai pihak berkepentingan seperti masyarakat, ibu bapa, pelajar dan guru amat penting dalam memantapkan kecemerlangan pelajar selaku individu yang mampu menyumbang dan memajukan masyarakat.
“ Pencapaian pelajar lebih bermakna apabila keluarga mereka juga turut berperanan dan membabitkan diri dalam kejayaan anak” katanya
Azuwan berkata sebarang masalah yang wujud di sekolah boleh diselesaikan sekiranya pihak berkepentingan bekerjasama dengan pihak sekolah. Seterusnya masyarakat melalui ibu bapa perlu juga bergerak aktif dan memberi sumbangan termampu bagi mengatasi masalah yang berlaku di sekolah. Sumbangan ibu bapa secara material iaitu sumber kewangan untuk aktiviti dan program yang dianjurkan oleh pihak sekolah.
Selain itu Azuwan berkata, sumbangan moral juga adalah penting bagi mendorong pelajar untuk mencapai kejayaan yang cemerlang. Antara sokongan moral yang boleh diberikan oleh ibu bapa ialah dengan menghadiri Mesyuarat Agung serta memberi pendapat, sentiasa mengambil tahu mengenai anak mereka di sekolah dan memberi sumbangan tenaga melalui permuafakatan daripada aktiviti sekolah seperti kem motivasi dan sebagainya.
Dalam pada itu menurut Azwan pihak Kementerian Pendidikan turut memperkenalkan Sarana ibubapa dan sekolah sebagai panduan dan mekanisme kepada ibu ba[a untuk berperanan dalam meningkatkan pembelajaran anak-anak mereka.
“ Sarana ini menjadi instrumen ibu bapa menilai tahap pembabitan mereka dalam meningkatkan pembelajaran pelajar. Seterusnya ibu bapa diberikan panduan mendidik anak dengan adanya contoh amalan terbaik. Di bawah program sebegini, Biro Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB) perlu diwujudkan bagi membantu ibu bapa melalui perkongsian buah fikiran dan menangani setiap isu di bawah struktur PIBG sedia ada” katanya
Katanya, KSIB ialah saluran kerjasama dan komunikasi merapatkan hubungan di antara ibu bapa, pelajar dan sekolah serta lebih banyak interaksi, kerjasama perkongsian dan percambahan ilmu dapat berlaku.
“ Pada era ‘new new media’ ini, Facebook, Twitter, WhatsApp, Skype, SMS, MMS mahupun video phone komunikasi dapat dijadikan medan penyebaran maklumat antara pihak sekolah, ibu bapa dan masyarakat” tambah Azuwan.