KOTA KINABALU, 16 Mac 2023: Persatuan Barisan Usahawan Sepanggar (BUS) bersama dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan memeterai satu MOU bagi megendalikan beberapa perusahaan termasuk penghasilan baja ikan untuk di komersailkan.
MOU yang kelak juga akan termasuk kerjasama Usahawan itu dijangka akan dilakukan pada bulan April 2023.
Keputusan untuk menandatangani MOU itu dipersetujui selepas BUS membuat kunjungan hormat ke UMS pada bulan Febuari tahun ini.
Kunjungan berkenaan telah disambut dengan baik dan dikendalikan oleh Pengarah Pusat Pengurusan Inovasi dan Pengkomersialan UMS, Prof Madya Dr. Jidon Januan bagi pihak UMS.
BUS juga akan berkerjasama dengan kerajaan dalam membantu program ‘1-kampung-1-Industri’ dan kini di dalam peringkat perbincangan.
Diharapkan dengan terealisasinya program ini akan dapat membantu para penduduk kampung di dalam mengusahaan tanaman dan produk yang berpotensi, sekaligus dapat mempertingkatkan ekonomi rakyat.
BUS merupakan sebuah persatuan yang dianggotai oleh usahawan-usahawan sedia ada dan bakal usahawan industri kecil dan sederhana (IKS), khususnya di kawasan Parlimen Sepanggar.
Ia telahpun berjaya didaftarkan dan mendapat sijilnya dari Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) pada 30 Ogos 2022.
BUS dilancarkan secara rasmi oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, Datuk Yakub Khan pada 31 Mac 2022.
Satu majlis ringkas penyerahan sijil oleh Setiausaha BUS, Walter Francis Kimong kepada Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif BUS, Romeo Ansow diadakan di pejabatnya di KSTI, di sini, baru-baru ini.
BUS akan ditadbir urus sepenuhnya oleh unit pengurusan yang professional dan inovatif dengan matlamat usahawan-usahawan di P.171 Sepanggar bakal mendapat bimbingan latihan dan akses kepada maklumat mengenai apa jua bantuan daripada pihak kerajaan agar mereka berjaya untuk maju dan berkembang sehingga ke peringkat global.