SANDAKAN: Keseriusan kerajaan menyediakan peruntukan RM920 juta bagi naik taraf bangunan serta infrastruktur di 380 buah sekolah yang daif khususnya di Sabah dan Sarawak akan memberi keselesaan dalam pengajaran dan pembelajaran yang selamat kepada guru dan murid.
Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Haji Nasir berkata belanjawan 2023 yang menyediakan peruntukan besar menangani isu sekolah daif khususnya di kawasan luar bandar Sabah dan Sarawak akan mengurangkan statistik peningkatan sekolah daif di negeri itu.
“Tidak dinafikan masih banyak lagi sekolah luar bandar yang perlu di naiktaraf seperti bangunan serta infrastukturnya, sekiranya isu itu tidak ditangani pasti memberi kesan kepada aspek pengajaran dan pembelajaran murid.
“Ini juga akan menjejaskan sistem pembelajaran mereka kerana tidak mendapat keselesaan semasa tempoh menuntut ilmu,” katanya selepas menghadiri Sesi Taklimat Kementerian Pendidikan Malaysia Berkaitan Peruntukan Penyelenggaran Dan Bangunan Sekolah Yang Mempunyai Bangunan Daif Berdasarkan Belanjawan 2023 di Bilik Banguet Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjelaskan isu sekolah daif itu bukan satu perkara baharu, ia berlaku sejak sekian lama apatah lagi membabitkan bangunan yang dibina daripada kayu.
Suhaimi berkata keseriusan kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia tangani isu sekolah daif dalam pembentangan belanjawan 2023 sebagai bukti kerajaan menitikberatkan permasalahan rakyat terutamanya dalam sekolah pendidikan.
“Penyediaan peruntukan RM2.3 bilion untuk membina infrastruktur serta kemudahan pembelajaran terbaik, termasuk RM920 juta untuk menaik taraf bangunan serta infrastruktur di 380 sekolah daif untuk memberi keselesaan murid itu pasti akan memberi impak yang besar terhadap sistem pendidikan negara ini,” jelasnya.
Ahli Parlimen Libaran itu juga telah mengemukakan beberapa perkara berhubung masalah sekolah-sekolah di Libaran untuk diambil perhatian oleh pihak KPM.