KOTA KINABALU:Kekuatan Parti Warisan Sabah (Warisan) semakin mengendur dan melemah selepas satu demi satu Adun mengumumkan keluar parti pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Terbaharu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas Datuk Awang Ahmad Sah Sahari yang juga Bendahari Agung Warisan mengumumkan keluar parti itu dan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS).
“Selepas memikirkan selama tiga bulan, saya telah berbincang dengan rakan-rakan dalam Warisan, saya tiada sedikit keraguan pun kerana saya bukan seorang malah hampir keseluruhan AJK Warisan Putatan menyokong keputusan berpindah ke Parti Gagasan Rakyat Sabah.
“Kita ada dua setengah tahun lagi sebelum menghadapi pilihan raya akan datang dan tentu sekali kami memikirkan masalah rakyat dan nasib jentera parti yang memberi kemenangan pilihan raya negeri yang lalu.
“Atas alasan itu saya dan rakan-rakan lain putuskan keluar parti dan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Awang Ahmad Sah turut menzahirkan sokongan penuh kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.
Pada 6 Feb lepas, tiga ADUN Warisan mengumumkan keluar meninggalkan parti dan menjadi wakil rakyat Bebas yang menyokong kerajaan negeri pimpinan Hajiji yang juga presiden PGRS.p
Tiga ADUN terbabit ialah Mohammad Mohamarin (Banggi), Chong Chen Bin (Tanjong Kapor) dan Norazlina Arif (Kunak).
Pada Pilihan Raya Negeri DUN Sabah Ke-16, Awang Ahmad Sah berjaya mengekalkan kerusi DUN Petagas dengan majoriti 262.