Negara Maju Hasil Keluarga Cemerlang – Redonah

KUDAT: Golongan ibu bapa harus sedar bahawa tanggungjawab mereka amat besar dalam membentuk sebuah keluarga yang cemerlang sekali gus menyumbang kepada kemajuan negeri Sabah dan negara.

Advertisements

Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Datuk Redonah Bahanda berkata, tanpa keluarga yang baik sukar untuk melahirkan anak-anak yang baik baik dari segi sahsiah diri mahupun pencapaian akademik.

Menurut beliau, proses pembesaran kanak-kanak bermula dari rumah, jika mereka ini mendapat jagaan dan didikan yang baik, tidak mustahil mereka mampu menjadi seorang warga yang baik serta cemerlang dari pelbagai aspek diri.

“Tanpa pendidikan yang cemerlang, tidak mungkin kita mampu bersaing dengan generasi seperti Jepun, Korea dan lain-lain negara maju seperti yang kita lihat hari ini.

“Namun untuk mencapai ke arah itu, ibu bapa seharusnya terlebih dahulu memainkan peranan penting. Guru-guru hanya boleh menyampaikan pembelajaran di sekolah tetapi hakikatnya yang menentukan kecemerlangan diri pelajar terletak di tangan ibu bapa sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis Apresiasi Kecemerlangan Murid Sekolah Kebangsaan Bingolon Kudat Sesi 2022/2023 di Dewan Mini SK Bingolon semalam.

Hadir sama Guru.Besar SK.Bingolon Majukil Masuadil, ahli jawatankuasa PIBG, guru-guru serta penerima anugerah.

Redonah berkata, dalam arus perkembangan dunia moden hari ini, sistem pendidikan memainkan peranan utama dalam melahirkan pelajar progresif, dinamik dan inklusif.

“Justeru, murid-murid serta masyarakat harus membuka mata bahawa golongan muda-mudi ini yang bakal menggantikan pemimpin masa kini perlu disaluti dengan pendidikan yang sempurna sedari awal tadika, sekolah rendah, menengah dan institusi pengajian tinggi,” ujar beliau.

Sehubungan itu, beliau meminta ibu bapa memainkan peranan dan tanggungjawab mereka dengan sebaik mungkin bukan sahaja untuk kebaikan diri anak-anak mereka tetapi juga generasi akan datang.

“Antara peranan yang boleh dilakukan oleh ibu dan bapa adalah dengan memastikan kebajikan anak-anak terjaga. Suasana yang kondusif seperti hubungan kekeluargaan yang bahagia serta makan dan minum terjaga pasti melahirkan anak-anak yang bahagia serta bersyukur. 

Selain itu, ibu dan bapa juga seharusnya sentiasa menunjukkan tauladan yang terbaik di rumah supaya menjadi ikutan anak-anak. Jika mereka melihat bapa rajin membantu ibu dalam melakukan kerja-kerja rumah mereka pasti akan mendapat inspirasi supaya menjadi rajin seperti ibu dan bapa mereka,” tambah beliau. 

Katanya, nilai-nilai murni ini mampu membantu mencapai kecemerlangan akademik di sekolah secara tidak langsung.

“Sesungguhnya dalam mencorak masa hadapan keluarga, masyarakat dan negara yang lebih cerah, kecemerlangan akademik wajar menjadi kebudayaan bangsa.  

“Apabila generasi muda bersifat celik dan intelek, negara akan menjadi lebih progesif dan maju bersama-sama negara lain. Pendidikan adalah asas kepada pembentukan masyarakat yang cemerlang, gemilang dan terbilang,” katanya.

Tiga orang murid penerima Anugerah Tokoh Murid iaitu Javier Casper Junior Charles dan Mish Marrilyn Alexander, manakal Anugerah Tokoh Kukum ialah Mohammad Aleswana Abdullah dan Mish Marrilyn Alexander.

Sekolah Kebangsaan Bingolon merupakan sekolah kurang murid yang mempunyai 96 murid dan 13 orang kanak-kanak prasekolah.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles