Keharmonian kaum tanggungjawab bersama -Redonah

KOTA KINABALU: Kerajaan hari ini akan terus menjadikan agenda keamanan, perpaduan dan keharmonian antara rakyat sebagai teras utama pemerintahan sekali gus mengekang sebarang usaha pihak tertentu yang cuba menimbulkan konflik antara kaum dan agama.

Advertisements

Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Datuk Redonah Bahanda berkata, keamanan merupakan satu nikmat yang tidak ternilai harganya dan wajar dipelihara oleh semua pihak di negara ini.

“Bagi memastikan keamanan terus kekal, kerajaan sentiasa memantau dan memelihara supaya tidak ada pihak sengaja mencetuskan sensitiviti rakyat khususnya terhadap isu-isu agama.

“Selain itu, antara pendekatan paling sesuai bagi mewujudkan suasana harmoni antara kaum dan agama ialah dengan membudayakan pendekatan secara dialog. DIalog ini mestilah berasaskan keikhlasan dan kematangan bagi mencapai persefahaman dan keharmonian,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucapa pada Majlis Tilawah Al Quran Peringkat Daerah Kecil Matunggong Tahun 1444 Hijrah/2023 Masihi di Dewan Mini Pejabat Urusetia Matunggong, Kota Marudu kelmarin.

Hadir sama Pengerusi Badan Dakwah Daerah Kecil Matunggong Tasyrif Jahamin yang juga Pengerusi Induk MTQ Daerah Kecil Matunggong, Pegawai Tadbir Agama Jheains Daerah Kecil Matunggong Mohd Azmi @ Lorince Ungin, serta jawatankuasa MTQ dan 13 orang peserta terdiri 5 qari dan 8 qariah.

Menurut Redonah, dalam konteks hubungan antara-agama, sekiranya dialog ini didokong dan disantuni oleh golongan tokoh dan pemimpin masing-masing, ia pasti akan melahirkan impak positif yang berganda kepada rakyat.

“Percayalah bahawa keharmonian dan keamanan ini mestilah dipertahankan dan dikekalkan dengan meraikan kepelbagaian dan kemajmukan yang sedia ada. 

“Janganlah disebabkan dua tiga isu remeh-temeh yang tidak sependapat, maka kita sanggup menggadaikan keamanan yang kita kecapi pada hari ini. Pertelingkahan dan persengketaan hanya akan menatijahkan kelemahan,” katanya.

Tambah Redonah, tema “Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran”  tersebut adalah sebuah konsep yang sangat signifikan kepada umat Islam di negara ini. 

Jelasnya konsep tersebut menunjukkan kerjasama seluruh rakyat dalam menghadapi sebarang krisis dan menyemai pengkayaan nilai dalam diri. Konsep tersebut jelas menunjukkan kepentingan institusi keluarga dalam menghadapi situasi yang mencabar. 

Redonah berkata, ianya akan menyemai budaya integriti dalam keluarga, menjadikan budaya amanah sebagai budaya keluarga, menjadikan prinsip keadilan sebagai teras pengukuhan keluarga dan menjadikan amalan bermusyawarah sebagai amalan keluarga. 

Dalam majlis Tilawah Al Quran itu, seramai 13 orang peserta menyertai pertandingan tersebut.

Johan Qari Muhammad Khaitir Othman, Naib Johan Iqmah Fitie Asni @ Jali dan tempat ketiga Ahmad Khairul Idhan Ahmad Dahlan.

Sementata itu Johan Qariah Rohana Telang, Naib Johan Siti Noorhazierah Kamir dan tempat ketiga Siti Nornaziella Kamir.

Kedua-dua Qari dan Qariah akan mewakili MTQ ke peringkat negeri Sabah.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles