Banjir Penampang: KUSKOP salur peruntukan khas bencana RM50,000 kepada SM St.Micheal

PENAMPANG: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui agensinya Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) akan menyalurkan peruntukan khas bencana sebanyak RM50,000 kepada koperasi Sekolah Menengah (SM) St.Micheal Penampang untuk membaiki kerosakan akibat banjir di kawasan sekolah itu.

Advertisements

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, sekolah itu terjejas banjir dua hari lepas sehingga ditutup sementara dan menjejaskan peperiksaan SPM yang sedang berlangsung.

“Saya juga akan menyalurkan peruntukan khas menteri sebanyak RM100,000 untuk membina konkrit kawasan letak kereta sekolah ini seperti yang diperlukan oleh pihak sekolah,” katanya selepas mengadakan tinjauan kesan banjir di sekolah itu, di sini, hari ini.

Turut hadir meninjau kerosakan akibat banjir di SM St.Micheal Penampang ialah Pegawai Daerah Penampang Francis Chong, Pengarah SKM Sabah Matias Kundapin, Pengetua sekolah Jenifer Asing, pegawai TEKUN Nasional Sabah dan wakil Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Penampang.

Semasa lawatan itu, para pelajar SM St.Micheal Penampang sedang bergotong-royong membersihkan kawasan sekolah itu.

“Saya juga telah menyampaikan sumbangan sebanyak RM5,000 untuk membantu gotong-royong membersihkan kawasan sekolah akibat banjir,” katanya.

Ewon turun padang meninjau sendiri keadaan dan kawasan yang sering dilanda banjir bagi membolehkannya mengambil tindakan lanjut.

“Saya perlu meninjau sendiri keadaan sebenar di lapangan bersama Pejabat Daerah, JPS dan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk mengenalpasti kerosakan dan keperluan penyelengaran atau menaiktaraf tempat-tempat berkenaan yang airnya masih bertakung atau selalu menjadi punca banjir sehingga menyebabkan penduduk kampung tidak boleh keluar menggunakan jalan tersebut,” katanya.

Sementara itu, Ewon akan membawa isu banjir Penampang ke mesyuarat kabinet persekutuan pada Jumaat ini untuk penyegeraan peruntukan pelaksanaan projek mitigasi banjir di daerah itu.

Ahli Parlimen Penampang itu berkata, pelaksanaan projek mitigasi banjir di Penampang yang tertangguh sejak beberapa tahun lalu perlu dipercepatkan kerana ia satu keperluan mendesak dan amat diperlukan oleh rakyat Penampang.

“Menjadi tanggungjawab saya untuk membangkitkan isu banjir Penampang kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri I Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga menteri penyelaras bencana negara dan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad pada mesyuarat Jemaah Menteri Persekutuan Jumaat ini.

“Saya memerlukan perhatian dan tindakan Kabinet untuk menyegerakan proses pelantikan kontraktor atau konsultan untuk memulakan projek ini yang sudah tertangguh sekian lama,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau beberapa kawasan banjir di kawasan Penampang, di sini, hari ini.

Ewon berkata, sebelum ini insiden bencana banjir yang berlaku di beberapa negeri termasuk Terengganu dan Kelantan telah dibincangkan di Kabinet.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles