Ewon santuni 3 kampung dan 1 sekolah Kadamaian, teruskan Pelan Induk Pembangunan

KOTA BELUD: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick meluangkan masa menyantuni penduduk di tiga buah kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian, kelmarin.

Advertisements

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian memulakan program turun padang di Kadamaian dengan membuat tinjauan mesra di Tamu Komuniti Sosondoton Piasau, Kg. Piasau.

Kemudiannya menyempurnakan perasmian dan pecah tanah kawasan eko pelancongan komuniti Ratau, Kg. Ratau sebelum meneruskan program perasmian Dewan serbaguna Gereja SIB Taginambur di Kg. Taginambur Jaya dan meninjau keperluan Asrama Desa SIB Taginambur.

Ketika berucap pada majlis perasmian dan pecah tanah eko pelancongan Kg.Ratau, Ewon berkata, Kadamaian terkenal dengan pusat pelancongan menarik dan berharap pengusaha pelancongan sama ada persatuan atau persendirian dapat menubuhkan koperasi pelancongan bagi memudahkan kementeriannya melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menyalurkan bantuan.

“SKM menyediakan pelbagai kemudahan untuk dinikmati oleh koperasi seperti, geran bantuan pembangunan koperasi dan pinjaman Tabung Modal Pusingan (TMP-SKM),” katanya.

Mengenai pembangunan di Kadamaian, Ewon berkata, pelaksanaan Pelan Induk Pembangunan Kadamaian yang diinisiatifkan olehnya akan diteruskan.

“Pada tahun ini, sebanyak RM1 juta peruntukan disediakan untuk Pembangunan Fasa 3 Tamu Kadamaian yang akan disalurkan melalui Pejabat Daerah Kota Belud.

“Peruntukan itu akan digunakan untuk membina parit di kawasan tamu mingguan Taginambur, taman permainan, kawasan tempat letak kereta, pemasangan lampu solar dan pembangunan-pembangunan lain di kawasan itu.

“Ini adalah komitmen dan tanggungjawab berterusan saya untuk rakyat Kadamaian yang telah memberikan mandat kepada saya sebagai wakil rakyat mereka,” katanya.

Pada majlis itu, Ewon turut mengumumkan peruntukan pembinaan dewan terbuka di kawasan eko pelancongan Kg.Ratau sebanyak RM70,000 dan peruntukan khas membaikpulih Gereja SIB Ratau sebanyak RM15,000.

Bagi Gereja SIB Taginambur pula, Ewon juga mengumumkan peruntukan sebanyak RM50,000 untuk Tabung Pembangunan Gereja SIB Taginambur dan RM50,000 untuk Gereja SIB Dongonggon.

Dalam lawatan di Tamu Kg.Piasau, beliau menyampaikan sumbangan sejumlah RM5,500 untuk Wanita Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Kelab Belia dan persatuan penduduk Kg.Piasau

Manakala lawatan di Kg.Ratau pula, Ewon menyampaikan sumbangan sejumlah RM6,000 untuk kelab belia dan Gereja Wanita Kg.Ratau.

Beliau juga menyampaikan sumbangan sebanyak RM5,000 untuk PMM SIB kawasan Taginambur dan RM5,000 sebagai dana urusetia penyukatan Program PANTAS di Kg.Kiau.

Pada sebelah malam pula, Ewon menghadiri Majlis Seribu Kenangan SMK Narinang Kota Belud, di Ming Garden Hotel, di Kota Kinabalu.

Pada majlis itu, beliau mengumumkan peruntukan sebanyak RM40,000 untuk SMK Narinang.

Peruntukan itu akan digunakan untuk membeli keperluan sekolah termasuk meja, kerusi, membaiki kerosakan penghawa dingin dan membiayai program Bahasa Melayu sekolah itu.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles