Ewon pengerusikan mesyuarat Majlis Pembangunan Keusahawanan Nasional

KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick mempengerusikan mesyuarat Majlis Pembangunan Keusahawanan Nasional (MPKN) Bilangan 1 Tahun 2023, di Dewan Tun Abdul Razak, Menara Kembar Bank Rakyat, di sini, hari ini.

Advertisements

Mesyuarat itu dihadiri oleh Timbalan Menteri KUSKOP Senator Saraswathy Kandasami, Exco-exco Keusahawanan Negeri Sabah, Sarawak, Perak, Pahang, Pulau Pinang, Perlis, Melaka dan Johor serta pegawai-pegawai kanan kementerian, jabatan, agensi di peringkat persekutuan dan negeri.

Mesyuarat MPKN membincangkan mengenai cadangan pelaksanaan pendaftaran Status Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) untuk program bantuan kewangan PMKS.

Turut diberi penelitian mengenai langkah intervensi bagi menangani isu kenaikan harga bahan mentah yang dihadapi oleh PMKS terutamanya di peringkat akar umbi.

Mesyuarat juga memperincikan cadangan pembangunan Pusat Pengumpulan Jualan Produk Usahawan di peringkat negeri.

Ewon menegaskan selaras dengan penerapan norma baharu untuk memastikan kelangsungan operasi perniagaan, semua pihak haruslah sama-sama menggembleng usaha.

“Ini terutamanya dalam menyokong dan menggalakkan usahawan termasuk koperasi bagi mengadaptasi teknologi dan digitalisasi supaya mereka kekal relevan dan kompetitif seiring dengan aspirasi Malaysia MADANI,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Mesyuarat dimaklumkan mengenai prestasi pelaksanaan PMKS bagi tahun rujukan 2021 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.

KUSKOP juga membentangkan program-program keusahawanan utama di bawah kementerian itu sepanjang tahun 2023 dan terma rujukan pelaksanaan Majlis Pembangunan Usahawan, Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Daerah (MPUKPPD).

Ewon berkata, MPKN dibentuk sebagai platform utama bagi menyelaras dasar dan hala tuju pembangunan keusahawanan dan koperasi yang inklusif antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

“MPKN juga berperanan dalam mewujudkan kerjasama yang kolektif di antara KUSKOP dan semua pihak berkepentingan di peringkat persekutuan dan negeri bagi memastikan pelaksanaan strategi dan inisiatif yang digariskan di bawah Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN2030) akan memberi impak yang lebih holistik kepada ekosistem keusahawanan negara,” katanya.

Katanya lagi, KUSKOP sentiasa komited dan kekal konsisten bagi membangunkan usahawan yang lebih cekal, berdaya maju, proaktif, kompetitif dan inovatif serta berupaya menampan situasi di luar jangkaan pada masa hadapan.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles