UDA salur RM60,000 menerusi Program UDA Cares; Back To School 2023 di Sabah

KOTA BELUD: Seramai 300 murid sekolah rendah dari 10 buah sekolah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian menerima sumbangan daripada UDA Holdings Berhad (UDA) menerusi Program UDA Cares; Back To School 2023.

Advertisements

UDA Holdings adalah peneraju pembangunan hartanah dan pengurusan aset merangkumi pelaburan dan pengurusan harta, hospitaliti serta pengurusan fasiliti yang juga agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

Sumbangan berupa beg sekolah, bekas bekal makanan, alat tulis dan subsidi pakaian seragam sekolah untuk persiapan bagi sesi persekolahan yang baharu, disampaikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia Datuk Ewon Benedick, di SK Tamu Darat, di sini, hari ini.

Selain itu, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) yang juga agensi di bawah KUSKOP, turut berganding bahu bersama UDA dalam menyantuni komuniti setempat dengan menghulurkan sumbangan berupa bekas bekal makanan serta botol air minuman kepada murid di 10 buah sekolah itu.

Sekolah-sekolah itu ialah SK Sayap, SK Melangkap, SK Tamu Darat, SK Gansurai, SK Lasau, SK Piasau, SK Kalawat, SK Kiau, SK Dalas dan SK. Kebayau.

Secara keseluruhannya UDA Holdings memperuntukkan sebanyak RM60,000 bagi program yang memanfaatkan seramai 449 pelajar dari 14 buah sekolah di dua kawasan iaitu Kadamaian dan Penampang.

Ewon berkata, inisiatif UDA ini mencerminkan komitmen Kementerian dan agensi dalam membantu komuniti memerlukan.

“Usaha seumpama ini harus dijadikan contoh serta menggalakkan lebih banyak syarikat berkaitan kerajaan mahupun syarikat swasta yang lain untuk menyantuni komuniti yang kurang bernasib baik,” katanya.

Penganjuran program ini adalah langkah proaktif UDA bagi menyumbang kembali kepada komuniti yang memerlukan di seluruh Malaysia bagi meringankan beban mereka untuk membuat persiapan kembali ke sekolah.

Turut hadir Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif UDA Datuk Mohd. Salem Kailany, Ketua Pegawai Operasi Perniagaan Hartanah dan Teknikal Kumpulan UDA Datuk Nordin Murat, Ketua Bahagian Komunikasi Korporat Kumpulan UDA Radziah Mohamed Fadzil, Pegawai Pendidikan Daerah Kota Belud Laugan Iman, Guru Besar SK Tamu Darat Sulina Sandur dan guru-guru besar sekolah yang menerima sumbangan.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles