Sabah kutip hampir RM7 bilion tahun lalu

TUARAN: Kerajaan negeri Sabah telah melakukan yang terbaik bagi membangunkan negeri di bawah Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya pada tahun 2022 dengan berjaya mengutip hasil hampir RM7 bilion setakat ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Sehingga 31 Disember lalu katanya, sebanyak RM6.96 bilion hasil dikutip oleh kerajaan negeri.
“Kutipan yang besar sejak merdeka ini bukti kerajaan negeri hari ini telah melakukan yang terbaik, sekali gus ini bermakna kita telah mengurus negeri ini dengan baik.
“Kita tidak hanya berpolitik berbanding yang lain hanya tahu berpolitik dan mahu mendapatkan kedudukan serta jawatan. Saya tahu ada yang cuba ambil alih kerajaan dengan cara tidak betul.
“Namun, saya bersyukur kerana kita dapat menangani semua cubaan dan cabaran itu dengan adanya sokongan padu rakan-rakan daripada PH (Pakatan Harapan) juga sebahagian rakan dari UMNO dan BN (Barisan Nasional). Sokongan itu kerana mereka tahu kita mengurus kewangan negeri dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Sempena Perayaan Tahun Baharu Cina Daerah Tuaran di Dewan Sri Sulaman di sini, malam ini.
Ketua Menteri berkata pendekatan mesra pelabur yang diamalkan kerajaan negeri turut menjadi pendorong kepada peningkatan kemasukan pelabur ke negeri ini.
“Kita membuka peluang seluas-luasnya kepada pelabur untuk datang ke negeri ini untuk mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi dan seterusnya pekerjaan kepada anak- anak Sabah.
“Ini adalah antara usaha kita untuk memulihkan kembali ekonomi negeri yang terjejas selepas pandemik COVID-19 dan rakyat dapat hidup dalam keadaan baik serta makmur.
“Saya juga ingin memberi jaminan kepada rakyat terutama kepada masyarakat Tionghua bahawa kerajaan hari ini akan terus melakukan yang terbaik melalui Hala Tuju SMJ untuk memastikan Sabah maju dan rakyat mempunyai peluang dalam negeri mereka sendiri,”katanya.
Beliau turut melahirkan rasa gembira dengan kehadiran ramai rakyat berbilang bangsa dan agama untuk sama-sama meraikan Tahun Baharu Cina dengan masyarakat Tionghua di Tuaran.
“Kita akan memastikan keharmonian dan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang bangsa dan agama akan terus dimantapkan dan diperhebatkan lagi,” katanya sambil menambah tidak akan pernah lupa masyarakat Tionghua di Tuaran walaupun sibuk dengan tugas harian.
Hadir sama Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai; Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Wilfred Madius Tangau, dan ADUN Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya serta Pengerusi Penganjur, Frankie Goh.

Advertisements

Related Articles

253FansLike

Latest Articles