Surat sokongan untuk mangsa air pasang besar di Kg Forest tidak wajar – Vivian

SANDAKAN: Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee berkata tindakan pihak berkenaan yang memberikan surat sokongan bagi mangsa air pasang besar dan ombak di Kampung Forest Sandakan pada bulan lepas untuk mendirikan semula rumah mereka di tapak kejadian itu amat tidak wajar.

Advertisements

Beliau berkata pihaknya menerima banyak pertanyaan berkenaan tular satu surat yang menyatakan ada pihak berkenaan yang telah mengemukakan surat sokongan kepada pihak Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) untuk mangsa-mangsa keluarga Kampung Forest bagi membina semula rumah mereka yang telah musnah dan dihanyutkan akibat fenomena air pasang besar dan ombak yang berlaku pada Disember tahun lalu.

“Kepada pihak berkenaan, tahukah anda dalam masa terdekat bulan ini dijangka akan berlaku air pasang besar sekali lagi,?

“Adakah anda telah mengambil keputusan yang wajar dengan memberi sokongan ini dengan melihat faktor keselamatan warga Kampung Forest,? katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Vivian juga bertanya “dimanakah pihak berkenaan yang memberikan surat sokongan ini berada sebelum ini apabila pihak Vivian bersama agensi berkenaan sibuk mengurus pusat penempatan sementara untuk kesemua mangsa-mangsa terlibat selepas kejadian itu?

“Jangan hanya mahu menjadi hero dan mengambil risiko ini buat warga Sandakan.” tegasnya.

Dalam pada itu, Vivian berkata, dalam hal berkenaan mangsa terlibat, pihaknya akan meneruskan usaha bagi menempatkan mangsa-mangsa terlibat di rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan mempercepatkan proses membaiki blok yang kosong di PPR Taman Harmoni selain mencari rumah yang masih kosong di PPR yang lain.

Jelasnya, perbincangan dengan pihak MPS bagi mencari penyelesaian akan perkara ini juga telah dilaksanakan bersama.

“Saya berharap penduduk atau mangsa-mangsa terlibat tidak akan mendirikan semula rumah mereka di tapak kejadian atau penempatan ini demi untuk keselamatan diri dan keluarga,” katanya.

“Semoga mangsa yang terlibat akan terus bersabar dengan dugaan ini dan bersama kita berusaha mencari penyelesaian yang terbaik tanpa mengambil risiko yang tidak kita ingini berlaku,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles