KOTA KINABALU: Keadaan politik di Sabah bertambah baik, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kita (Anwar dan timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) hanya beri nasihat (formula terbaik) untuk Sabah dan keputusannya ditentukan oleh pimpinan Sabah sendiri,” katanya.
Anwar berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Zahid, Presiden Parti Warisan Sabah Datuk Mohd Shafie Apdal, Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) Datuk Peter Anthony di sini malam ini.
Anwar diminta mengulas hasil pertemuan itu yang diadakan untuk mencari solusi kemelut politik yang melanda Sabah ketika ini.
Politik Sabah mencetus pergolakan selepas Bung Moktar yang juga pengerusi badan perhubungan Umno Sabah mengumumkan menarik sokongan kepada kerajaan negeri.
Keputusan UMNO dan BN Sabah itu dibuat susulan hilang kepercayaan terhadap kedudukan Hajiji sebagai Ketua Menteri, selain perjanjian antara BN dan Perikatan Nasional (PN) dilanggar.
Bung Moktar berkata, BN dan PN melaksanakan perjanjian membentuk kerajaan Sabah selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 2020, namun, Hajiji serta pemimpin Bersatu Sabah yang juga komponen PN, keluar parti menyebabkan kerajaan negeri sekarang tiada keabsahan.
DUN Sabah mempunyai 79 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu 73 ADUN yang dipilih dan enam ADUN dilantik.
Selepas itu, Perdana Menteri mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.