KOTA BELUD: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, sebanyak 1,661 buah koperasi berdaftar di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Sabah setakat 30 Jun lepas dengan keanggotaan seramai 343,230 orang.
Beliau berkata, daripada jumlah keseluruhan koperasi berdaftar di Sabah, jumlah syer dan yuran terkumpul adalah sebanyak RM220.524 juta; aset terkumpul bernilai RM822.575 juta dan perolehan (turnover) berjumlah RM268.037 juta.
“Dalam tempoh yang sama, terdapat 14,975 koperasi dengan keanggotaan seramai 7.03 juta orang di seluruh negara.
“Jumlah modal syer, yuran dan jumlah aset koperasi masing-masing mencatatkan jumlah sebanyak RM16.52 bilion dan RM156.18 bilion,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Pelancongan Tagal Kampung Lingkubang Kota Belud Berhad kali ke-4, di sini, hari ini.
Turut hadir Naib Pengerusi Eksekutif (Dasar dan Pembangunan) Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Datuk Umar Sarim Hj. Saidin, Pengarah SKM Negeri Sabah Matias Kundapin, Pengerusi Koperasi Pelancongan Tagal Kampung Lingkubang Kota Belud Berhad Danial Sagun dan anggota-anggota lembaga koperasi.
Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, gerakan koperasi turut menerima impak negatif akibat pandemik Covid-19.
“Kerajaan sememangnya prihatin terhadap cabaran yang dihadapi oleh koperasi. Oleh itu KUSKOP melalui agensi-agensinya, telah melaksanakan beberapa Pelan Pemulihan Ekonomi, bagi membantu sektor koperasi menghadapi permasalahan kemerosotan ekonomi kesan dari pandemik berkenaan,” katanya.
Ewon berkata, KUSKOP melalui SKM, telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk membantu koperasi-koperasi yang terkesan, antaranya Penangguhan Bayaran Balik Pembiayaan Tabung Modal Pusingan (TMP-SKM) kepada 1,000 koperasi dengan jumlah sehingga RM99 juta dan Pembiayaan Tanpa Cagaran sehingga RM200,000 menerusi Pembiayaan TMP-SKM dengan penangguhan pembayaran balik pinjaman selama enam bulan dengan peruntukan sebanyak RM15 juta.
“SKM turut memberikan Bantuan Kecemasan kepada koperasi yang terjejas teruk akibat bencana, dengan peruntukan sebanyak RM1 juta.
“Bagi tahun 2023, Tabung Bantuan Kecemasan Koperasi (TBKK) ini telah dinaikkan sehingga RM2 juta.
“Oleh itu mana-mana koperasi yang terkesan dengan bencana alam boleh mengemukakan permohonan untuk bantuan ini mulai tahun depan,” katanya.
Katanya lagi, Program Jualan Harga Patut dengan peruntukan berjumlah RM1 juta juga dilaksanakan bagi membantu masyarakat mendapatkan barangan dengan harga berpatutan di samping meningkatkan jualan koperasi.
Ewon berkata, SKM terus menyediakan pelbagai kemudahan seperti, geran bantuan pembangunan koperasi sehingga RM300,000 dan Pembiayaan Tabung Modal Pusingan (TMP-SKM) sehingga RM30 juta.
“Saya difahamkan, Koperasi Pelancongan Tagal Kampung Lingkubang Kota Belud Berhad ini juga turut menerima beberapa geran bantuan, antaranya Bantuan Program Pelan Pemulihan Ekonomi Koperasi (PULIH) Insentif Promosi Dan Pemasaran Sektor Ekonomi Utama (Pelancongan dan Penjagaan Diri) berjumlah RM8,000 bagi memperbaiki pondok rehat koperasi yang rosak akibat banjir.
“Selain itu koperasi itu juga menerima bantuan Pembangunan Di Bawah Program Pengukuhan Koperasi (PPK) Siri II berjumlah RM100,000 bagi membiayai kos menaik taraf bangunan koperasi yang kini siap sepenuhnya,” katanya.
Beliau berharap dengan adanya bantuan itu, dapat membantu koperasi membangunkan lagi aktiviti sedia ada seterusnya meningkatkan pendapatan koperasi.
Katanya lagi, kejayaan sesebuah koperasi bergantung kepada anggota-anggota koperasi, kerana anggota koperasi yang menetapkan dasar dan halatuju koperasi malalui Mesyuarat Agung.
“Saya berharap gandingan mantap dikalangan anggota Lembaga Koperasi dan sokongan padu anggota-anggota dapat dikekalkan bagi menjamin kejayaan koperasi ini,” katanya.
Ewon berkata, Sabah terkenal dengan tarikan alam semulajadi yang dikenali para pelancong dari dalam dan luar negara.
“Saya berharap koperasi ini dapat terus memainkan peranannya menjaga kelesterian alam sekitar yang menjadi aset amat penting bagi Negeri kita.
“Sebagai sebuah koperasi yang aktif dalam keusahawanan berkaitan eko pelancongan, saya berharap koperasi ini boleh menjadi contoh kepada koperasi lain di Negara ini, khasnya dalam perniagaan berkaitan ekopelancongan, serta penjagaan kelesterian alam semulajadi.