DOHA: Gol jaringan Theo Hernandez dan Randal Kolo Muani berjaya membantu juara bertahan Perancis meraih kemenangan 2-0 ke atas Maghribi untuk menempah tiket ke pertandingan Akhir Piala Dunia 2022 bertemu Argentina Ahad ini.
Kemenangan bergaya Perancis itu menepati ramalan layak ke final buat kali kedua berturut-turut, sekali gus mengakhiri rentak keajaiban wakil Afrika Maghribi yang mencatatkan sejarah bola sepak dunia.
Maghribi layak ke peringkat separuh akhir selepas kejayaan mereka menewaskan Portugal 1-0 di peringkat suku akhir pada hujung minggu lalu.
Perlawanan bermula seimbang dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan namun tiada percubaan benar-benar merbahaya yang berjaya dilakukan.
Perancis berjaya membuka tirai jaringan mereka seawal minit ke-5 permainan menerusi Theo Hernandez yang cemerlang memanfaatkan peluang terhidang di dalam kotak penalti Maghribi.
Pada minit ke-79 permainan, Perancis berjaya menggandakan kedudukan menerusi pemain yang baru sahaja dimasukkan, Randal Kolo Muani.
Maghribi cuba bangkit dengan melancarkan serangan demi serangan ke kubu Perancis, namun misi mereka menemui jalan buntu.