PUTRAJAYA: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick menghadiri Taklimat Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) dan Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corp. Malaysia), di pejabat agensi itu, di sini, kelmarin.
Pernas dan SME Corp adalah antara 11 agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Saraswathy Kandasami, Ketua Setiausaha kementerian Dato’ Sri Suriani Ahmad.
Taklimat di Pernas disampaikan Ketua Bahagian Pembangunan Francais Mazlan Ibrahim, manakala taklimat SME Corp disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya Rizal Nainy.
Ewon berkata, Pernas dan SME Corp masing-masing mempunyai peranan penting untuk melahirkan lebih ramai usahawan dalam bidang perniagaan francais dan memperkasakan lagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di seluruh negara.
“SME Corp Malaysia adalah agensi pembangunan yang memacu pertumbuhan dan transformasi perniagaan Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) Malaysia dan memberikan pekerjaan kepada 47.8 peratus rakyat negara ini.
“Kita berharap lebih besar peruntukan disalurkan kepada kementerian ini dan agensi-agensi kita supaya kita boleh memperkasakan PKS seterusnya menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya.
Selepas mendengar taklimat SME Corp, Ewon melawat pameran produk pengusaha tempatan yang menerima pembiayaan atau bantuan daripada agensi itu, di pusat pameran SME Corp.
Dalam taklimat SME Corp, Rizal berkata, antara program yang akan dilaksanakan oleh agensi itu pada 2023 ialah Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE).
Beliau berkata, ia adalah khusus untuk belia bumiputera berumur antara 18 hingga 30 tahun, berminat dalam perniagaan dan mempunyai sijil kemahiran asas dari institut latihan atau pusat kemahiran tempatan.
Selain itu katanya, SME Corp juga akan melaksanakan program Galakan Eksport Bumiputera (GEB) yang bertujuan meningkatkan bilangan PKS Bumiputera ke pasaran eksport serta mewujudkan rangkaian dan rantaian bekalan dalam kalangan PKS Bumiputera.
Dalam kunjungan Ewon di Pernas, beliau turut melawat beberapa gerai produk di bawah Pernas iaitu minyak wangi jenama Abdul Samad Al-Qurashi (ASQ) dan Gloria Jean’s Coffees (GJC).
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PNS ASQ Asia Badrulhisham Shawal berkata, ASQ sudah beroperasi di Melawati Mall dan Menara Pernas.
“Produk minyak wangi kami juga boleh dibeli secara online melalui Shopee dan Lazada. Berikutan permintaan amat tinggi daripada pengguna seluruh negara, kami akan membuka cawangan di beberapa tempat termasuk Kota Kinabalu, Miri dan Johor, pada tahun hadapan,” katanya.