KOTA MARUDU: Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Pusat menziarahi kediaman Ali Akbar Olong, pewakaf tapak tanah Pusat Latihan Dakwah USIA-Albukhary Kota Marudu di Kampung Marasinsim, di sini kelmarin.
Rumah kediaman Ali Akbar rosak teruk akibat dilanda ribut dalam kejadian pada 24 November lalu.
Yang Dipertua USIA, Datuk Sapawi Hj Ahmad, mengetuai program ziarah itu yang turut disertai beberapa ahli jawatankuasa USIA Bahagian Kota Marudu.
Sempena kunjungan itu, USIA menyerahkan sedikit sumbangan wang tunai kepada Ali Akbar bagi meringankan beban.
Ali Akbar merupakan pewakaf tanah bagi tapak Pusat Latihan Dakwah (PLD) USIA-AlBukhary.
Sapawi berkata pahala mewakafkan tanah untuk pembinaan institusi agama amat besar ganjarannya dan ia mengalir bagaikan sungai tanpa henti.
“Kita rasa bersyukur kerana tanah yang diwakafkan oleh beliau membantu meringankan beban USIA mendapatkan tanah untuk membina PLD ini.
“Kami berdoa agar amal jariah yang beliau (Ali Akbar) telah sumbangkan diberikan ganjaran bak sungai yang mengalir selama pusat latihan itu dimanfaatkan oleh masyarakat setempat,” katanya.
Mengenai bencana ribut yang melanda, Sapawi berharap keluarga berkenaan tabah menghadapinya.
Ribut ini ujian daripada Allah Ta`ala, kita sebagai hamba perlu bersabar menempuhi ujian dan pasti ada hikmah di sebalik ujian tersebut, katanya.
Ketika dalam perjalanan balik, rombongan USIA itu sempat singgah di PLD dan melihat keadaan pagar yang rosak akibat dilanda ribut berkenaan.
USIA Pusat ziarah pewakaf tapak tanah PLD USIA-Albukhary
Advertisements