BN pilihan terbaik kembalikan kestabilan politik, sambung misi pembangunan Sabah – Bung Moktar

 

KOTA KINABALU: Hanya tinggal beberapa hari lagi rakyat di seluruh negara akan mengundi bagi menentukan kerajaan baharu selepas Parlimen dibubarkan pada 10 Oktober lepas bagi memberi laluan kepada Pilihan raya Umum ke-15 (PRU15) yang diadakan pada 19 November ini.

Advertisements

Bagi Barisan Nasional (BN) khususnya di Sabah, PRU-15 kali ini cukup penting dalam menentukan masa depan negara agar kestabilan dan kemakmuran negara dapat diterjemahkan melalui sokongan padu rakyat.

Dengan misi untuk membentuk kerajaan yang stabil dan kukuh di Putrajaya, BN memerlukan sokongan yang padu daripada rakyat Sabah untuk menyumbang kemenangan pada PRU15.

Meskipun hanya bertanding 12 kerusi, selain 13 kerusi lagi yang ditandingi rakan kerjasama Gabungan Rakyat Sabah (GRS), jumlah itu tetap penting kerana ia boleh menjadi penentu kemenangan BN untuk kembali mentadbir negara.

BN dilihat sebagai gabungan politik paling sesuai mentadbir negara selepas kegagalan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) berikutan keadaan politik yang tidak stabil selain terlalu banyak berpolitik hingga aspek kepentingan rakyat dan negara terjejas.

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin sebelum ini menyatakan keyakinannya bahawa rakyat kini semakin sedar mengenai ketidakmampuan pembangkang dan kembali menyokong BN berdasarkan rekod pencapaiannya sebelum ini yang telah banyak membawa pembangunan, termasuk di Sabah.

Jelasnya, BN adalah pilihan terbaik untuk mengembalikan kestabilan politik negara yang menjadi kunci utama kepada keyakinan pelabur untuk kembali menanam modal di negara ini, sekali gus merancakkan semula ekonomi negara yang sebelum ini terjejas akibat Covid-19.

“Rakyat mesti memilih BN demi kestabilan politik di negara ini. Kita sudah merasai bagaimana keadaannya negata ketika di bawah PH dan PN, tiada kestabilan politik hingga menyebabkan ekonomi terus terjejas dan bebannya terpaksa ditanggung oleh rakyat hingga sekarang,” katanya.

Bagaimanapun, dalam usaha mengukuhkan kedudukan BN Sabah dan menawan hati pengundi pada PRU15, Bung Moktar mengakui berdepan sentimen negatif yang dicanang parti lawan dengan menjadikan isu parti luar atau parti Malaya yang dikaitkan dengan BN, khususnya parti komponennya, UMNO sebagai dakyah bagi memesongkan fikiran rakyat negeri ini.

Namun, beliau seringkali menegaskan tidak timbul sama sekali soal parti luar atau Parti Malaya memandangkan UMNO – BN sudah lama bertapak di Sabah dan memiliki autonominya sendiri dalam membuat keputusan berhubung soal parti di peringkat negeri.

Bung Moktar juga menekankan organisasi UMNO Sabah dan barisan kepemimpinan di semua peringkat dikuasai sepenuhnya rakyat negeri ini tanpa kehadiran mana-mana orang luar, apatah lagi pemimpin dari Semenanjung yang menjadi ketua di mana-mana bahagian di Sabah.

“Pihak lawan melaungkan sentimen parti tempatan, kononnya rakyat Sabah harus menolak parti luar, namun saya lihat semua parti di Sabah ini dipimpin orang tempatan, termasuk UMNO dan BN.

“Jadi, sebenarnya tiada isu parti luar atau parti Malaya, yang ada adalah parti nasional iaitu UMNO BN yang mempunyai autonominya sendiri di Sabah dan dipimpin orang tempatan. Maksudnya, kita juga adalah parti tempatan,” katanya.

Jelasnya, parti tempatan seperti Parti Warisan (WARISAN) yang turut bertanding di Semenanjung pada PRU15 ini juga sudah dianggap sebagai parti nasional kerana tidak lagi hanya menumpukan kedudukannya di Sabah seperti pada PRU lalu.

Dalam pada itu, Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berkata parti pembangkang hanya lantang dalam isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), namun perkara itu turut diperjuangkan parti dalam blok kerajaan, termasuk BN Sabah.

Tegasnya, beliau sendiri sering membangkitkan perkara itu pada persidangan Dewan Rakyat dan ia dilihat lebih mudah untuk didengari kerajaan Pusat jika pemimpin dari Sabah berada dalam parti yang sama-sama membentuk kerajaan di peringkat persekutuan.

“Bukan setakat itu, dalam PRU15 ini BN Sabah akan memasukkan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) dari Sabah dalam manifesto tambahan untuk negeri ini.
“Jika BN menang besar, kita minta seorang TPM dari Sabah dilantik dalam kerajaan Pusat, jadi sudah pasti selepas ini apa saja isu yang dibangkitkan akan terus sampai ke Putrajaya dengan kuasa yang diberi,” katanya.

Bung Moktar turut menekankan perlunya untuk rakyat memilih dan memenangkan BN pada PRU15 ini agar Bajet 2023 yang sudah siap dirangka sebelum ini dapat dibentangkan semula untuk diluluskan agar apa yang sudah digariskan oleh kerajaan dapat diterus dan dilaksanakan dengan lancar.

Jika tidak, katanya bajet yang berteraskan kesejahteraan dan kebajikan rakyat itu pasti dirombak atau diganti dengan belanjawan lain mengikut kehendak kerajaan baharu yang membentuk kerajaan selepas PRU15, 19 November ini.

Berdasarkan pembentangan Bajet 2023 pada awal bulan lalu, Sabah akan menerima peruntukan pembangunan sebanyak RM6.3 bilion bagi projek infrastruktur air, elektrik, jalan raya, kesihatan dan kemudahan pendidikan jika bajet berkenaan diteruskan selepas pembentukan kerajaan baharu nanti.

Jumlah itu membabitkan kenaikan sebanyak 20.45 peratus berbanding RM5.2 bilion yang diperuntukkan pada bajet 2022, selain pelbagai lagi inisiatif lain untuk Sabah termasuk berkaitan usaha mempercepatkan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah yang kini mengalami kelewatan.

Menyentuh mengenai projek lebuh raya itu, Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya Sabah menegaskan, projek berkenaan sangat penting dalam meningkatkan kecekapan sistem perhubungan jalan raya di Sabah dan menyelesaikan masalah kerosakan jalan raya yang berlaku di seluruh negeri.

Tegasnya, BN perlu diberi mandat pada PRU15 agar projek Lebuhraya Pan Borneo itu tidak tergendala sekali lagi seperti yang berlaku ketika Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan Pusat selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018.

“Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah sepatutnya siap pada tahun ini tetapi disebabkan kerajaan PH, projek ini tergendala. Hanya selepas PH jatuh, projek ini dapat diteruskan dengan lebih lancar dan kerajaan sudah menyatakan komitmennya dalam Bajet 2023 untuk memberi keutamaan terhadap projek ini agar siap sepenuhnya pada 2024.

“Jadi, kita jangan biarkan lagi projek ini tergendala sekali lagi. Kerajaan BN sudah memberi jaminan akan mempercepatkan pelaksanaannya dan atas sebab itu, rakyat Sabah perlu memenangkan BN pada PRU15,” katanya.

Sementara itu, Bung Moktar berkata BN turut menawarkan manifesto PRU15 yang realistik untuk kebaikan rakyat dengan tumpuan terhadap aspek kesejahteraan rakyat, pertumbuhan ekonomi yang stabil, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan pendidikan.

Manifesto yang dinamakan Perancangan Amal dan Usaha BN (PADU) itu menggariskan lima fokus utama dan 99 tawaran yang akan dinikmati pelbagai golongan masyarakat terutama kumpulan B40 dan M40 selain tidak melupakan golongan T20.

Bung Moktar berkata, BN Sabah sendiri akan menambah beberapa perkara dalam manifesto khas untuk manfaat rakyat negeri ini yang diyakini mampu dilaksanakan jika BN memenangi PRU15.

“Manifesto BN Sabah lebih bersifat realistik dan relevan serta bukan semata-mata hanya untuk memancing undi rakyat. Ia tidak membabitkan banyak penambahan kerana manisfesto yang dibuat BN pusat sudah cukup lengkap.

“Manifesto ini datang dari pemimpin Sabah dan kita sudah rangka dan akan dibentangkan tidak lama lagi sebelum hari pengundian 19 November ini,” katanya.
Sehubungan itu, Bung Moktar yang sekali lagi mempertahankan kerusi Parlimen Kinabatangan pada PRU15 mengingatkan pengundi di Sabah supaya tidak tersalah memilih parti untuk mewakili mereka di Parlimen.

Paling penting katanya, rakyat harus memilih parti yang ada rekod pencapaian yang baik, khususnya BN bagi memastikan agenda pembangunan yang dirancang semula selepas kejatuhan kerajaan PH dapat diteruskan dengan lebih baik dan berkesan.

Ertikal ini Sumbangan
Jaafar Abdul Wahid
Setiausaha Akhbar Timbalan Ketua Menteri/Menteri Kerja Raya Sabah

Related Articles

253FansLike

Latest Articles