Oleh: Jaafar Abd Wahid
BELURAN: Penyandang kerusi Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee didakwa gagal membawa perubahan yang signifikan selama lima penggal menjadi mewakili kawasan itu.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata berikutan itu sudah sampai masanya rakyat memilih pemimpin baharu untuk membawa pembangunan yang lebih baik di daerah ini.
Katanya, Ronald yang bertindak membelakangkan kerjasama Gabungan Rakyat Sabah – Barisan Nasional (GRS-BN) apabila bertanding atas tiket Perikanan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) perlu ditolak.
Beliau berkata, calon BN bagi kerusi Parlimen Beluran, Benedict Asmat adalah pilihan terbaik untuk menggantikan Ronald bagi menggalas usaha membangunkan Beluran.
“Malangnya di Beluran ini Ronald tidak menerima hakikat, jadi dia lawan arus. Orang lawan arus ini daripada sejuta, hanya seorang saja yang selamat.
“Dulu BN yang menangkan Ronald di Beluran ini, selama lima penggal atau 25 tahun. Kita angkat dia di Beluran tapi apa dia buat, orang sini pun cakap tiada apa-apa yang ketara dia bawa untuk rakyat.
“Hari ini dia kata kita pengkhianat, tapi dia yang pengkhianat sebenarnya, pengkhianat rakyat Beluran. Orang macam ini mesti dihukum, hukum dia jangan undi Ronald.
“Mengundi Ronald haram bagi kita, wajib undi nombor satu (calon BN), ini cara untuk ajar pemimpin lupa diri,” katanya pada siri jelajahnya di Beluran, semalam.
Sementara itu, Bung Moktar yang juga calon BN bagi kerusi Kinabatangan, berkata mana-mana pemimpin dalam GRS dan BN yang melawan arus kerana menyokong calon parti lain perlu disingkirkan.
Katanya, ia termasuk ketua kampung, jawatankuasa pembangunan dan keselamatan kampung (JPKK) dan penjawat kerajaan yang secara jelas menyokong calon lawan selain BN dan GRS.
“Saya akan jumpa Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengenai perkara ini. Siapa yang tidak sokong calon kerajaan akan diambil tindakan sebab saya dan Hajiji sudah mengisytiharkan 25 calon GRS dan BN adalah calon kerajaan negeri,” katanya.
Kerusi Parlimen Beluran menyaksikan pertandingan lima penjuru di antara Benedict, Ronald, Rowiena Rasid (WARISAN), Hausing Sudin (PEJUANG) dan Felix Joseph Saang (PH).