SEPANGGAR: Kemunculan bekas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman di dua sesi kempen Pakatan Harapan (PH) yang dihadiri Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam menimbulkan pelbagai tanda tanya.
Ini kerana pada 23 Oktober lepas, Anifah turut kelihatan menghadiri Majlis Perhimpunan Barisan Nasional (BN) di Parlimen Kimanis yang juga dihadiri Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Perdana Menteri Sementara Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Semalam, Anifah dilihat menghadiri perhimpunan kempen PH di Parlimen Putatan dan Sulaman Sentral, Sepanggar.
Bagaimanapun, masih terlalu awal untuk merumuskan sama ada kehadiran Anifah membayangkqn ssokongannya kepada Ph
atau sebaliknya.
Dalam ucapannya di Putatan, Anifah yang juga presiden Parti Cinta Sabah (PCS) berkata beliau hadir di majlis itu sebagai tanda sokongan kepada Anwar.
“Inilah peluang terakhir untuk kita mengundi Anwar sebagai Perdana Menteri,” katanya.
Beliau berkata Anwar juga merupakan Menteri Kewangan cemerlang yang pernah memegang jawatan itu.
Anifah berharap sekiranya Anwar menjadi Perdana Menteri nanti, beliau akan secara beransur-ansur mengembalikan semangat asal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Bercakap kepada pemberita kemudian, Anifah berkata PCS menyokong Anwar.
Ketika berucap di Sulaman Sentral, Anwar turut meminta Anifah untuk membantu calon PH Taufik Dahalan merampas kerusi Parlimen Ranau.
Penyandang Datuk Jonathan Yassin mempertahankan kerusi Parlimen Ranau yang dimenanginya atas tiket PKR pada PRU14.