SANDAKAN: Sandakan memerlukan lagi banyak kolej untuk menyediakan peluang pendidikan teknikal yang lagi meluas kepada golongan belia.
Pendidikan teknikal ini amat penting sebagai persiapan generasi muda untuk menyesuaikan diri dengan teknologi masa depan, kata Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) P.186 Sandakan, Lau Chi Keong @ Thomas Lau kepada Media pada hari ketiga program kempen beliau di Bandar Kim Fung kelmarin.
Kita memerlukan kolej teknikal yang menawarkan kursus-kursus seperti automatif dan kejuruteraan agar secara strategik dapat melahirkan kumpulan bakat kita sendiri yang terdiri daripada belia yang terlatih dalam kemahiran dan kursus bersesuaian, jelas Lau yang juga Naib Presiden SAPP.
“Kolej-kolej ini juga boleh membantu mengisi jurang kemahiran di Sandakan dengan melahirkan lebih ramai belia yang mempunyai bakat dan kemahiran yang diperlukan atau menjadi pilihan pihak pengusaha perniagaan mahupun majikan,” tambah Lau.
Lau berkata golongan belia kita juga tidak lagi perlu meninggalkan kampung halaman untuk melanjutkan pelajaran kerana menghantar mereka ke tempat lain juga mungkin boleh membebankan keluarga terutama mereka yang dari golongan berpendapatan rendah.
“Pendidikan adalah aspek penting dalam kehidupan dan saya telah memasukkan penubuhan kolej teknikal dalam manifesto saya. Jika saya diberi mandat oleh pengundi Sandakan pada 19 November ini, saya akan bekerjasama rapat dengan kerajaan untuk merealisasikannya.” Kata Lau.