PENAMPANG: Calon Pakatan Harapan (PH) Penampang Datuk Ewon Benedick terharu dengan sambutan yang diterima daripada pengundi Parlimen berkenaan sepanjang tempoh berkempen setakat ini.
Memasuki hari keempat berkempen, beliau yang juga ADUN Kadamaian berkata beberapa kawasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Moyog dan Kapayan di bawah Parlimen itu berjaya disinggahinya dan setiap persinggahan itu menerima maklum balas menggalakkan.
“Saya telah banyak menemui rakyat Penampang bukan sahaja di kawasan kampung tetapi juga di kawasan pekan Donggongon, Penampang Baru, Kapayan, kawasan taman-taman perumahan, dan
saya dapati mereka memberikan sambutan yang sangat positif.
“Kempen ini memberikan peluang kepada kita untuk membuktikan kepimpinan termasuk mereka bersedia untuk memberi peluang kepada saya menjadi anggota Parlimen Penampang,” katanya.
Ewon ditemui pemberita ketika turun padang berkempen di Jia Hua Food Court di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ewon berkata, sepanjang sesi ‘walkabout’ dan pertemuan dengan pengundi serta penduduk setempat itu, beliau menerima beberapa aduan terutama melibatkan kelewatan urusan berkaitan pemilikan lesen dan masalah banjir.
“Bermacam-macam aduan yang saya terima. Ada mengadu sukar berjumpa dengan wakil rakyat , maka tentunya bercakap dari pengalaman mereka daripada apa yang mereka telah lalui.
“Contohnya banjir, ramai yang mengadu tidak melihat wakil rakyat melawat rumah-rumah (yang terjejas banjir)…saya terima aduan ini secara positif sebagai satu amaran kepada saya supaya apabila saya menjadi wakil rqkyat Penampang saya mesti turun padang (menolong rakyat) katanya.
Ewon yakin dengan adanya kesepakatan dan kerjasama jitu, PH mampu menawan kerusi Parlimen Penampang.
Ditanya bagaimana beliau membahagikan masa sebagai Adun Kadamaian dan anggota Parlimen Penampang (sekiranya menang), Ewon berkata daripada segi tanggungjawqb “saya sebagai anak, Kadamaian adalah tempat ibu saya dan Penampang adalah kampung bapa saya”.
“Sebagai anak saya ingin berkhidmat untuk kedua-dua ibu bapa saya. Ia datang dari hati nurani dan political will atau iltizam politik untuk berkhidmat di kedua-dua daerah ibubapa.
“Saya telah melakukan yang terbaik di daerah ibu saya dan kini saya ingin memberikan yang terbaik untuk bapa saya. Pagi boleh melawat Kadamaian dan sebelah petang boleh bertemu rakyat Penampang…semuanya bermula dari hati nurani untuk memberikan khidmat terbaik kepada rakyat,” katanya.