KOTA KINABALU: Sabah Mission of Seventh-day Adventists memohon Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi kelonggaran kepada penganut agama Seventh-Day Adventist (SDA) mengundi awal pada 15 November memandangkan tarikh pembuangan undi jatuh pada Sabtu, iaitu hari perhentian dan kudus mengikut kepercayaan mereka.
Jurucakap Sekretariat Sabah Mission of Seventh-day Adventists, Pastor Earie Madius berkata, salah satu kepercayaan dasar Gereja SDA adalah pemeliharaan hari Sabat atau hari ketujuh bermula terbenam matahari setiap Jumaat dan berakhir pada terbenam matahari setiap Sabtu.
“Sepanjang hari tersebut, para anggota gereja SDA hanya akan melibatkan diri di dalam aktiviti ibadah dan kebajikan.
“Justeru, dengan rendah hati kita memohon pertimbangan daripada pihak SPR bagi membolehkan para anggota gereja SDA di seluruh Malaysia secara amnya, dan Sabah khususnya melaksanakan kewajiban sebagai warganegara Malaysia untuk membuang undi tanpa melalaikan tanggungjawab kerohanian,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Earie turut mengesahkan bahawa sepucuk surat permohonan telah dihantar ke Pejabat SPR Kota Kinabalu, kelmarin.
“Mengambil kira akan keprihatinan, amalan dan konsep Keluarga Malaysia selama ini, kita percaya pihak SPR akan memberi pertimbangan yang sewajarnya berhubung permohonan untuk mengundi awal.
“Ia juga seiring dengan amalan dan pematuhan prinsip Rukun Negara yang pertama iaitu Kepercayaan kepada Tuhan.
“Sehubungan itu, besarlah harapan kami agar permohonan ini mendapat perhatian dan diluluskan untuk para anggota gereja SDA dapat menunaikan tanggungjawab untuk memilih serta pada masa yang sama masih dapat melaksanakan tanggungjawab kerohanian,” katanya ketika dihubungi.