SANDAKAN: Setiausaha Publisiti DAP Sabah yang juga Penyandang Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee, menyaran dan merayu kepada semua syarikat penerbangan agar memperkenalkan penerbangan tambahan dengan harga tetap bagi perjalanan antara Kuala Lumpur dan Timur Malaysia agar lebih ramai rakyat Sabah dan Sarawak dapat melakukan perjalanan balik ke kampung halaman mereka untuk menjalankan tanggungjawab membuang undi pada 19 November 2022.
Beliau memberikan respon berkenaan laporan berita yang mana menyatakan tambang penerbangan antara Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur telah melambung tinggi hanya selepas beberapa jam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh pengundian semalam dan ini menyebabkan harga itu juga tidak dapat dicapai oleh ramai rakyat Sabah yang berharap untuk pulang ke kampung masing-masing bagi membuang undi mereka pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Pemeriksaan pantas menerusi platform tempahan dalam talian syarikat penerbangan menunjukkan bahawa kadar tambang penerbangan pergi balik antara Kuala Lumpur dan Sandakan dari 18 November 2022 adalah sekitar RM600 bagi Air Asia dan sehingga RM800 bagi Malaysia Airlines, yang mana jauh lebih tinggi berbanding masa biasa.
“Saya juga telah menerima pelbagai panggilan daripada orang awam yang mengeluh mengenai tambang penerbangan yang lebih tinggi daripada biasa tidak lama selepas tarikh pengundian diumumkan semalam. Ramai turut menyatakan kekecewaan mereka kerana kadar tambang penerbangan semasa itu akan menghalang kebanyakan daripada mereka dapat menggunakan hak perlembagaan mereka bagi mengundi kerajaan baharu, ” katanya Vivian.
“Ketika ini, terdapat lebih 200,000 rakyat Sabah yang tinggal di Semenanjung Malaysia untuk tujuan bekerja dan belajar. Ia akan menjadi tamparan hebat kepada proses demokrasi negara jika rakyat Sabah ini tidak dapat mengambil bahagian dalam PRU15 akan datang akibat harga tiket penerbangan yang tinggi. Walaupun saya percaya bahawa SPR perlu memperbaharui peraturan pengundian pos semasa untuk membolehkan pengundi luar daerah membuang undi pada masa hadapan, saya merayu kepada semua syarikat penerbangan untuk mempertimbangkan bagi memperkenalkan penerbangan tambahan harga tetap antara Semenanjung dan Malaysia Timur, sama seperti penerbangan tetap pada musim perayaan yang juga inisiatif tambang penerbangan harga tetap yang diperkenalkan oleh Menteri Pengangkutan ketika itu, Anthony Loke pada tahun 2020, bagi membolehkan lebih ramai rakyat Sabah pulang mengundi.” Jelasnya.
“Saya harap kita semua boleh melakukan bahagian dan peranan kita untuk membina Malaysia yang lebih baik untuk semua.” tambahnya.