Oleh Presiden UPKO Datuk Seri Wilfred Madius Tangau
KOTA KINABALU: Merujuk kepada laporan media yang memetik Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yang meminta saya agar tidak bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Tuaran, nasihat saya kepada beliau: tidak perlu takut dengan sesiapa, apatah lagi anak kampung seperti saya. Ini kerana selaku Ketua Menteri, beliau memegang tampuk kekuasaan politik Sabah dan mempunyai segala kuasa dan kapasiti.
Oleh itu, janganlah bersusah payah berbelaja ribuan ringgit untuk mengadakan majlis di Tuaran hanya untuk meluahkan nasihat agar saya jangan bertanding lagi di kerusi Parlimen Tuaran.
Sebaliknya rakyat tertunggu-tunggu tindakan Hajiji untuk membantu rakyat dalam isu-isu berikut:
1. Apakah yang rakyat harus buat pada ketika tidak ada bekalan air terutama sekali semasa mengadakan majlis keramaian atau berada dalam kesusahan seperti kematian.
2. Setelah bergraduat apakah para belia harus buat di atas ketiadaan peluang pekerjaan di Sabah.
3. Apabila ibu-ibu ke pasar, apakah mereka harus buat dengan duit yang terlalu sikit dengan nilai duit sudah jauh merosot manakala harga barang sudah melambung tinggi.
4. Apabila rumah-rumah dì Mengkabong semakin reput dan tidak selamat untuk dihuni, apakah tindakan kerajaan negeri di bawah kepimpinan Hajiji sejak dua tahun lalu.
Rakyat kini mengharapkan tindakan Ketua Menteri yang juga merupakan Menteri Kewangan Sabah untuk memberi penyelesaian terhadap pelbagai masalah yang mereka hadapi.
Hajiji tidak perlu sibuk dan berbelanja beribu-ribu ringgit semata-mata untuk memberi nasihat kepada seorang insan di Tuaran bernama Madius Tangau supaya jangan bertanding lagi. Kenyataan yang sungguh melucukan.
Mengapa Hajiji begitu risau dengan Madius Tangau.
Hajiji juga tidak mengungkit apa yang telah berlaku di masa lalu, sebab barangkali kalau bukan langkah UPKO keluar Barisan Nasional (BN) selepas PRU 2018, UMNO masih memegang tampuk kekuasaan dengan Tan Sri Musa Aman sebagai Ketua Menteri. Hakikatnya ialah Hajiji berpeluang jadi Ketua Menteri Sabah kerana langkah UPKO. Beliau patut mengucapkan terima kasih kepada UPKO, bukannya menasihatkan saya jangan bertanding.
Untuk makluman Hajiji, sebenarnya Negara kita berada dalam krisis. Inilah cabaran kita. Negara diselubungi dengan krisis kepemimpinan, krisis politik, krisis ekonomi, krisis kos sara hidup, malah negara masih lagi dalam krisis kesihatan. Ini semua berlaku sejak Perikatan Nasional (PN) menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) melalui Langkah Sheraton, menerusi pintu belakang dan GRS (juga sebahagian daripada PN) membentuk kerajaan di Sabah.
Selaku orang yang memegang tampuk kekuasaan politik tertinggi di Sabah, Hajiji harus menumpukan perhatian untuk menyelesaikan pelbagai masalah yang melanda rakyat sekarang dan bukannya membantu kepemimpinan negara yang diselubungi krisi akibat rasuah, penyelewengan dan kepentingan peribadi yang melampau.
Pendek kata, kerajaan negeri Sabah dan persekutuan telah gagal. Saya yakin Hajiji faham akan perkara ini. Telah gagal memulihkan negara dan menyelesaikan masalah rakyat. Nasihat saya kepada Hajiji, sebagai seorang Ketua Menteri yang telah gagal, pandang cermin dan beliau juga harus fikir banyak kali sama ada wajar menerajui GRS untuk menghadapi PRU bagi kerusi-kerusi Parlimen di Sabah.