Perkasakan peranan USIA menerusi Pelan Strategik Pembugaran

KOTA KINABALU: Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) disaran melaksanakan transformasi sesuai dengan tuntutan semasa menerusi pendekatan yang lebih berkesan, khususnya dalam berdakwah, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Sejajar dengan usaha menyegarkan kembali pertubuhan itu menerusi Pelan Strategik Pembugaran USIA, Hajiji juga mahu pelan itu menjadi garis panduan kepada USIA dalam mengemudi gerakan dakwah yang lebih sistematik, sesuai dengan tuntutan era digital semasa.
“Pelan Strategik Pembugaran USIA ini akan menjadi suatu dimensi baharu bagi USIA untuk meningkat dan memperkasakan semula peranannya terutama dalam gerakan dakwah seperti yang telah dilakukan di awal-awal tahun pembentukannya.
“Seiring dengan perkembangan teknologi masa kini, kita perlu meneroka pelbagai ilmu disiplin seperti sains dan teknologi agar usaha dakwah yang dilakukan dapat dimantapkan dan lebih proaktif. Kepelbagaian ilmu seperti ini akan mengupayakan kita untuk memberi kefahaman dalam menjayakan misi kepada golongan sasaran dengan lebih berkesan dan berkualiti.
“Dakwah boleh disampaikan dengan lebih berkesan jika pendakwah dan pertubuhan Islam memanfaatkan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi atau ICT. Pendekatan ini amat penting terutama pada masa sekarang dengan segala maklumat adalah di hujung jari,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan pelancaran Pelan Strategik Pembugaran USIA 2022-2024 di Sabah International Convention Centre (SICC) di sini pada Sabtu.
Teks ucapannya disampaikan oleh Menteri Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan, Datuk Haji Mohd Arifin Mohd Arif.
Ketua Menteri berkata, beliau mengikuti perkembangan USIA sejak dari dahulu kerana pertubuhan ini sangat sinonim dengan gerakan dakwah, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman negeri ini.
“Peranan dan sumbangan besar USIA kepada umat Islam dan penduduk Sabah secara keseluruhannya tidak dapat dinafikan. Kita juga sentiasa mengenang perjuangan dan sumbangan Almarhum Tun Datu Haji Mustapha bin Datu Harun yang merupakan pengasas penting penubuhan USIA, sekali gus menjadi pelopor kepada gerakan dakwah Islamiah di Sabah sebaik sahaja pertubuhan itu diwujudkan.
“Namun, peredaran masa dan suasana serta cabaran silih berganti, kejayaan dan pelaksanaan program dakwah seperti mana yang pernah dilalui USIA suatu ketika dahulu, turut mengalami masa yang agak sukar serta mencabar.
“Saya berharap USIA akan bekerjasama dengan persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) Islam serta agensi kerajaan yang lain dalam menggerakkan dakwah di negeri ini. Kejayaan USIA pada masa lalu perlu dijadikan suntikan semangat dalam meneruskan perjalanan dakwah yang akan dilaksanakan oleh badan ini,” katanya
Beliau berharap USIA yang telah lama mengungguli bidang dakwah di Sabah tidak akan berhenti atau berasa puas hati dengan kejayaan yang telah dilakar selama ini.
“Sebaliknya, USIA perlu meningkatkan gerakan dakwah melalui pendekatan yang lebih kreatif demi kepentingan ukhuwah dan usaha memartabatkan agama suci Islam, khususnya di negeri ini.
Beliau turut merakamkan syabas kepada kepimpinan baharu USIA yang diketuai oleh Datuk Sapawi Ahmad yang telah berjaya menganjurkan bengkel ini dan seterusnya Pelan Strategik Pembugaran USIA.
“Sebagai NGO, USIA telah berjaya merangka pelan strategiknya sendiri.Lebih penting lagi, pelan strategik yang telah dirangka oleh USIA ini bertujuan membugar atau menyegarkan pelaksanaan dakwah, penjanaan ekonomi, pengurusan aset, pewujudan bank-bank data dan menegakkan integriti di dalam pertubuhan ini.
“Saya mahu semua cadangan, pandangan, syor dan idea yang diperolehi melalui bengkel hari ini akan diolah dan didokumentasikan sebagai sebuah buku panduan yang penting. Saya juga mahu USIA terus menyokong setiap agenda kerajaan negeri dalam membangunkan negeri ini khususnya pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang memberi manfaat kepada seluruh rakyat negeri ini,” katanya.

Advertisements

Related Articles

253FansLike

Latest Articles