KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkemungkinan besar akan bertanding di lima kerusi Parlimrn pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Difahamkan, UPKO hampir pasti akan bertanding di lima kerusi berkenaan yang dikatakan diperuntukkan kepada parti tersebut iaitu Tuaran, Beluran, Libaran, Kimanis dan Penampang.
UPKO juga mengintai peluang untuk bertanding di Parlimen Sepanggar namun “ia tertakluk kepada rundingan mereka dengan parti komponen lain dalam Pakatan Harapan (PH)”.
Sumber parti memberitahu Jesselton Times bahawa bekas ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Wilfred Madius Tangau akan mempertahankan kerusi berkenaan manakala parti itu menaruh harapan kepada ketua pemudanya Felix Joseph Saang untuk meraih kemenangan di kerusi Parlimen Beluran.
Ketua Bahagian UPKO Libaran Dr Peter Jr Naintin dan Ketua Wanita UPKO Bahagian Kota Kinabalu Rowindy Lawrence berkemungkinan akan diletakkan sebagai calon masing-masing di kerusi Libaran dan Kimanis.
Bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Bernard Dompok, timbalan presiden UPKO Datuk Donald Mojuntin dan ketua pemuda Penampang Billy joe Dominic merupakan antara nama yang disebut-sebut bakal menyarung jersi PH untuk bertanding kerusi Penampang.
Gabungan PH dianggotai PKR, DAP, Amanah dan UPKO.
Sebelum ini, Majlis Presiden PH memutuskan semua parti di bawah naungan gabungan itu – PKR, DAP, Amanah dan UPKO – akan menggunakan logo PH pada pilihan raya umum ke-15.