PENAMPANG: Mesyuarat khas Majlis Tertinggi Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) memutuskan untuk menunda Persidangan Perwakilan Tritahunan yang sepatutnya diadakan pada 15-16 Oktober ini ke satu tarikh baru selepas pilihanraya umum ke-15 (PRU15).
Bakal Presiden UPKO Datuk Ewon Benedick berkata, keputusan penundaan kongres parti itu dibuat bagi memberikan tumpuan sepenuhnya kepada persiapan pilihanraya.
Bagaimanapun katanya, penundaan ini tidak memberi kesan kepada transisi kepimpinan dalam parti dan juga keputusan pencalonan bagi jawatan-jawatan dalam Majlis Tertinggi.
Ewon turut mengesahkan bahawa jawatan Presiden, Timbalan Presiden dan Naib-Naib Presiden tidak akan dipertandingkan selepas calon-calon yang layak menang tanpa bertanding selepas calon lain memberi laluan.
Sementara itu dalam Mesyuarat khas Majlis Tertinggi parti itu semalam memutuskan agar Ewon dilantik menjadi Pengarah Pilihanraya UPKO yang sebelum ini dipegang oleh Naib Presiden Datuk Wong Thien Fook.
Beliau berkata, UPKO sedang giat melaksanakan persiapan-persiapan menghadapi pilihanraya terutama di kawasan yang menjadi sasaran untuk ditandingi oleh parti tersebut.
“Walaupun perundingan berkenaan pengagihan kerusi masih berjalan di peringkat pimpinan tertinggi parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH), namun mendapat gambaran berkenaan kerusi-kerusi yang bakal ditandingi.
“Yang pasti, kerusi-kerusi yang akan ditandingi oleh UPKO ada yang akan ditandingi oleh Barisan Nasional (BN), ada yang akan ditandingi oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan parti Warisan. UPKO bersama-sama dengan parti-parti komponen PH iaitu PKR, DAP, AMANAH serta rakan sekutu MUDA bersedia berhadapan dengan parti-parti ini,” katanya.
Menurut Ewon, beliau akan mengadakan kunjungan ke Bahagian-Bahagian yang bakal ditandingi oleh UPKO bermula pada minggu hadapan.