KOTA KINABALU: Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) berharap isu pelantikan Yang di-Pertua Negeri Sabah tidak terus menerus dipolitikkan kerana pelantikan itu terletak di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong setelah menerima cadangan dari Ketua Menteri Sabah.
Yang Dipertua USIA, Datuk Haji Sapawi Haji Ahmad berkata, pelantikan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah secara konvensyen dipilih dalam kalangan orang Islam bagi mewakili Yang di-Pertuan Agong dalam pengurusan dan pentadbiran hal ehwal agama Islam di Negeri Sabah.
“Tuan Yang Terutama secara konvensyen akan menjalankan tugas dan mewakili Yang di-Pertuan Agong dalam isu-isu pengurusan dan pentadbiran hal ehwal agama Islam di Negeri Sabah,” kata Datuk Sapawi dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Ibu Pejabat USIA.
Oleh yang demikian, seorang Yang di-Pertua Negeri Sabah yang dilantik sewajarnya beragama Islam untuk melaksanakan tugas-tugas berkenaan, katanya.
Yang Dipertua USIA itu berkata demikian bagi mengulas berita yang tersebar di dalam mesia sosial dan media cetak berhubung saranan agar Presiden KDCA, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri apabila tempoh khidmat Yang di-Pertua Negeri sekarang Tun Juhar Mahiruddin, tamat pada penghujung tahun 2022 ini.
Sapawi berkata selama ini isu-isu pelantikan Yang di-Pertua Negeri Sabah tidak pernah timbul, kerana tidak ada nama individu yang mewakili kaum tertentu, yang dicadang atau diapungkan bagi mengisi jawatan berkenaan.