1,890 benih ketam dilepaskan di Kota Marudu

97

KOTA MARUDU: Sebanyak 1,890 benih ketam bakau telah dilepaskan di Kampung Marudu Laut, di sini dalam sebuah program anjuran Jabatan Ketua Menteri, Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Jabatan Perikanan Sabah pada Rabu.

Program tersebut antara lain bertujuan untuk melestarikan alam sekitar serta pemuliharaan sumber dan populasi ketam bakau di daerah berkenaan.

Pelepasannya disempurnakan Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.6 Bandau, Datuk Wetrom @ Mohd Fikri Bahanda.

Turut hadir, Pengarah IPMB UMS, Prof. Madya Ts. Dr. Sitti Raehannah Muhammad Shaleh dan Pegawai Perikanan Daerah Kota Marudu, Masrani Madun.

Menurut Sitti Raehannah, benih ketam yang dilepaskan terdiri daripada spesies Scylla tranquebarica (Ketam bakau atau ketam nipah sepit ungu) yang dihasilkan di Hatceri Krustasia IPMB.

“Benih yang dilepaskan bersaiz antara 5mm hingga 25mm lebar karapas dan berumur sekitar lapan minggu selepas penetasan di Hatceri Krustasia.

“Spesies ketam bakau Scylla tranquebarica dipilih untuk pembenihan kerana ia merupakan spesies ketam bakau yang dominan di perairan Sabah termasuklah di kawasan Kota Marudu.

“Untuk makluman, 78% populasi ketam bakau di Kota Marudu adalah Scylla tranquebarica, 13% Scylla paramamosain, ketam nipah sepit kuning dan 8% Scylla olivacea, ketam nipah sepit merah,” katanya.

Sitti Raehannah berkata, program pelepasan benih ketam bakau itu merupakan program pelepasan yang pertama kali dilaksanakan di Kota Marudu.

“Kajian biologi ketam bakau pernah dilakukan oleh penyelidik dari IPMB di sini diketuai Prof. Madya Dr. Annita Yong Seok Kian pada tahun 2011 sehingga 2014.

“Bagi kawasan Teluk Marudu menunjukkan bahawa musim bertelur bagi ketam bakau di kawasan Kota Marudu adalah di antara bulan Februari sehingga Mei.

“Bilangan ketam betina dilaporkan menurun pada bulan Mac dan Jun yang mana berkemungkinan proses pemijah berlaku pada masa ini,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Sitti Raehannah memaklumkan hasil kajian itu juga menunjukkan terdapat trend penuruan populasi ketam bakau di kawasan Kota Marudu.

Beliau berkata, maklumat tentang komposisi dan taburan spesies serta hasil tangkapan perikanan ketam bakau itu sangat berguna untuk pengurusan sumber perikanan ketam bakau di Sabah khususnya di kawasan tersebut.

“Justeru, adalah diharapkan agar program pelepasan benih ketam bakau ini akan diteruskan lagi dari semasa ke semasa,” kata Sitti Raehannah lagi.

Untuk rekod, program pelepasan benih ketam IPMB telah dimulakan pada tahun 2019 yang menyaksikan benih ketam bakau dilepaskan di Sulaman Wetland dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Sabah.

Pada Julai lalu, sebanyak 2,600 benih ketam bakau turut dilepaskan di Tasik Sitompok Kuala Penyu dengan kerjasama Jabatan Perikanan Sabah.