TELUK INTAN: Pengeluaran padi negara telah meningkat sebanyak 3.1 peratus pada tahun 2021 berbanding pada tahun 2020 berdasarkan statistik terbaharu yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Jabatan Perangkaan Malaysia pada 12 September lepas.
Menteri MAFI Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata peningkatan ini amat membanggakan walaupun situasi negara berhadapan dengan pelbagai cabaran dari dalam dan luar negara berikutan penularan pandemik COVID-19 serta konflik geopolitik antarabangsa.
Katanya pencapaian ini sekali gus membuktikan pendekatan yang telah dan sedang dirangka oleh kerajaan melalui MAFI menerusi pelbagai usaha dan inisiatif bukan sahaja telah membuahkan hasil malah meningkatkan lagi tahap Tahap Sara Diri (SSL) beras negara.
“Ini juga selaras dengan sasaran SSL beras negara yang ditetapkan oleh Kerajaan supaya ditingkatkan kepada 75 peratus menjelang tahun 2025 dan seterusnya 80 peratus menjelang tahun 2030,” katanya ketika merasmikan Program Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) di Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Seberang Perak di Cawangan Ulu Dedap, hari ini.
Ronald berkata program SMART SBB merupakan antara inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan bagi terus meningkatkan hasil pengeluaran padi serta menjamin bekalan padi dan beras negara yang berterusan.
Katanya pendekatan ini seiring dengan hasrat Kerajaan di bawah Dasar Agromakanan Negara 2.0 (DAN 2.0) yang antara lainnya menyasarkan peningkatan hasil pengeluaran, mempertingkat kecekapan penggunaan sumber dan meningkatkan taraf hidup serta pendapatan pesawah.
Menurutnya inisiatif ini tidak melibatkan sebarang kos tambahan kepada kerajaan, malah kos operasi ditanggung sepenuhnya oleh Syarikat Peneraju.
“Jika diimbas kembali peringkat awal pelaksanaannya pada tahun 2021, kita telah berdepan dengan pelbagai halangan dan cabaran. Namun, berkat usaha dan libat urus yang dilaksanakan oleh MAFI melalui IADA dan Agensi serta Jabatan lain yang berkaitan, program ini mula mendapat sambutan yang mengalakkan daripada pemain industri dan juga pesawah,” katanya.
Beliau berkata sehingga kini, sebanyak 27 syarikat peneraju telah menyertai program ini di 10 buah negeri dengan melibatkan hampir 5,000 pesawah dengan keluasan melebihi 11,000 hektar.
Justeru, katanya, mengorak langkah ke hadapan, pelaksanaan program SMART SBB akan diperluas ke fasa seterusnya dengan penglibatan yang lebih agresif oleh syarikat swasta khususnya yang telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan MAFI.
Tegas beliau, kejayaan pelaksanaan program tentu sekali mampu merealisasikan hasrat kerajaan dalam memastikan bekalan makanan negara terjamin dan berterusan sepanjang masa.
Dalam pada itu, Ronald berkata ipak pelaksanaan SMART SBB di Kawasan IADA Seberang Perak jelas terbukti apabila telah menunjukkan peningkatan hasil selepas tiga musim penanaman.
Katanya sebagai contoh, melalui kerjasama bersama FGV dan Felcra Plantation Services Sdn Bhd, program ini telah berjaya meningkatkan hasil tuaian padi wangi Malaysia MRQ76 sebanyak 31.9 peratus, iaitu peningkatan daripada 3.92 tan metrik per hektar pada musim pertama/2021 kepada 5.17 tan metrik per hektar pada musim pertama/2022.
Manakala, pelaksanaan program SMART SBB IADA Seberang Perak bersama Syarikat Peneraju BERNAS di kawasan Sungai Manik pula telah berjaya meningkatkan hasil padi sebanyak 24 peratus, iaitu daripada 3.98 tan metrik per hektar pada musim pertama/2021 kepada 4.95 tan metrik per hektar pada musim kedua/2022, katanya.
Menurutnya selain daripada peningkatan hasil padi, Program Smart SBB juga mampu menjana pendapatan tambahan kepada para pesawah melalui aktiviti integrasi seperti ternakan udang dan itik serta tanaman sampingan lain di kawasan sawah padi.