KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin dijadual menyempurnakan pelancaran program Gelombang Biru dan Jentera Pilihanraya Barisan Nasional (BN) Kota Belud dan Tuaran di Kota Belud pada 10 September ini.
Menurut Setiausaha Akhbarnya Jaafar Abdul Wahid, pelancaran jentera PRU15 itu merupakan antara program yang dijangka dihadiri Bung yang juga Ketua UMNO Sabah pada bulan September.
“Beliau (Bung) akan bersama rakyat dan penyokong-penyokong Barisan Nasional di Kota Belud pada 10 Okt ini bagi melancarkan program Gelombang Biru dan Pelancaran Jentera Pilihanraya Kota Belud dan Tuaran,” katanya
Sementara itu, saingan bagi kerusi Parlimen Kota Belud dan Tuaran kali ini dijangka hebat dan sengit yang menyaksikan pertembungan beberapa bekas menteri dan timbalan menteri Persekutuan.
Ramai pemerhati politik meramalkan pertarungan semula antara bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak mewakili BN dan penyandang Isnaraissah Munirah Majilis daripada Parti Warisan Sabah bakal mewarnai gelanggang politik bagi kerusi Parlimen Kota Belud.
Berbeza situasi PRU14, Warisan kali ini dijangka bergerak solo tanpa sokongan bekas rakan pembangkang Pakatan Harapan (PH) seperti yang diumumkan presiden Warisan Datuk Seri Mobd Shafie Apdal baru-baru ini.
Bagaimanapun, setakat ini PH belum memberi indikasi jelas sama ada bertanding kerusi Parlimen Kota Belud atau sebaliknya.
Bagi kerusi Parlimen Tuaran, pemerhati politik meramalkan dua bekas menteri persekutuan – Datuk Wilfred Madius Tangau mewakili PH dan Datuk Abdul Rahman Dahalan daripada BN bakal bertarung yang djangka turut melibatkan pertandingan melebihi tiga penjuru.
Parti Bersatu Sabah (PBS) sudah awal-awal lagi menyatakan hasratnya untuk bertanding kerusi campuran Parlimen Tuaran.
Madius yang juga presiden UPKO dijangka menggunakan logo PH buat pertama kali dalam PRU15.