KOTA KINABALU: Keputusan Parti Warisan Sabah (Warisan) untuk tidak bekerjasama dengan pakatan pembangkang atau bergerak secara solo pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) bakal mengundang risiko “kecundang” di sekurang-kurangnya empat kerusi campuran.
Empat kerusi campuran – – Sepanggar, Batu Sapi, Penampang dan Kota Belud itu dimenangi Warisan dengan majoriti selesa pada PRU14.
Sepanggar kini diwakili Datuk Mohd Azis Jamman, Batu Sapi (kerusi kosong berikutan kematian penyandang Datuk VK Liew), manakala Kota Belud dan Penampang masing-masing diwakili Isnaraissah Munirah Majilis dan Datuk Darell Leiking di Dewan Rakyat.
Pemerhati politik tempatan Mohd Zaki Harry Susanto berpendapat Warisan pasti berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk mengekalkan kerusi itu jika bekerjasama dengan parti pembangkang lain, khususnya Pakatan Harapan (PH).
Beliau meramalkan Azis, Isnaraissah Munirah dan Darrel bakal dicabar oleh bekas ahli Parlimen Datuk Jumat Idris (Sepanggar), Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak (Kota Belud), kedua-duanya daripada Barisan Nasional (BN) dan Tan Sri Bernard Dompok atau Datuk Donald Mojuntin (Penampang) mewakili Pakatan Harapan (PH).
*Dengan bergerak secara solo, saya fikir ia boleh memecahbelahkan undi pembangkang. Nampaknya Warisan “terlalu yakin” untuk meraih kemenangan di kesemua empat kerusi parlimen campuran tersebut walaupun tanpa sokongan PH pada PRU15.
“Harus diingat bahawa kerusi-kerusi ini – Sepanggar, Batu Sapi, Penampang mempunyai bilangan pengundi Cina yang ramai manakala Kota Belud mempunyai sejumlah besar pengundi Kadazandusun yang boleh merubah senario pola sokongan. ..jadi saya rasa di sinilah Warisan perlu bersedia menghadapi risiko dan cabaran ekoran tindakan tinggalkan rakan dalam pembangkang,” katanya.
Selepas pilihan raya negeri 2020, Warisan dikatakan mula menjauhkan diri daripada PH dan UPKO yang berperanan besar membantu Warisan mengambil alih tampuk pemerintaan negeri Sabah selama dua tahun.
Zaki berkata Warisan juga dijangka berdepan dengan kekuatan jentera pilihan raya BN dan Perikatan Nasional (PN).
Mohd Zaki berkata adalah janggal untuk Warisan bergerak solo dan tidak memaksimumkan peluangnya memenangi semua kerusi campuran itu dengan sokongan PH, sekali gus mengecewakan aspirasi rakyat yang mahu melihat pembangkang bersatu di negeri ini.
Sebelum ini, beliau berkata Warisan seolah-olah sengaja menimbulkan ketegangan dengan PH sebagai langkah awal menjauhkan diri daripada pakatan pembangkang.
“Malah, keretakan telah timbul dalam hubungannya dengan DAP selepas Warisan memutuskan untuk mengambil dua daripada bekas wakil rakyatnya – – ADUN Elopura dan Sri Tanjung,” katanya.
Zaki berkata Warisan jelas kelihatan sedang mencari rakan lain sebagai persiapan menghadapi PRU15.
Bagaimanapun, beliau berkata bukan mudah untuk Warisan memenangi banyak kerusi di Sabah, jika tidak menjalin kerjasama dengan parti lain dalam PRU15 yang dijangka diadakan tidak lama lagi.
Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dipetik sebagai berkata baru-baru ini bahawa parti itu akan bertanding di semua 25 kerusi Parlimen di Sabah, satu di Labuan, dan beberapa di Semenanjung Malaysia.
Bagaimanapun, Shafie berkata Warisan terbuka untuk bekerjasama dengan Parti Bersatu Sabah (PBS).
PBS telah menolak kemungkinan bekerjasama dengan Warisan pada PRU15, sambil menegaskan parti itu akan kekal bersama dengan gabungan Gabungan Rakyat Sabah.
Parti lain dalam GRS ialah Bersatu Sabah, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno).
“Politik adalah satu seni kemungkinan. Tiada yang mustahil dalam arena politik. Saya tidak akan terkejut jika Warisan akhirnya akan bekerja sama dengan PBS malah dengan PH,” kata Zaki mengenai bahang pilihan raya yang semakin dirasai di Sabah.
Politik Sabah tidak pernah gagal memukau pemerhati sejak sekian lama.
Dengan tumpuan penuh pada PRU15 hanya di kerusi Parlimen kali ini, perkara yang mustahil boleh berlaku, dan begitu juga sebaliknya.
Pendek kata, apa sahaja boleh berlaku tetapi kita mengharapkan pengundi akhirnya mengutamakan kestabilan politik demi kebaikan bersama.