KIULU: Sekolah Kebangsaan Malangang Baru dengan kerjasama Kelab Rukun Tetangga MANTAP (Gabungan lima lkampung berdekatan) di sekitar Kampung Malangang, Kiulu) menyemarakkan kemerdekaan dengan mengadakan Senamrobik dan Lambaian Merdeka sempena Hari Kebangsaan tahun 2022.
Perasmian aktiviti itu telah disempurnakan bersama oleh Pengerusi Kelab Rukun Tetangga MANTAP Encik Arifin Gadait (Mantan Pegawai Kanan Kerajaan Negeri Sabah ) dan Guru Besar SK Malangang Baru Encik John Wayne Linggang.
Acara bermula dengan Senamrobik dibawah kelolaan Cikgu Norhidah Essin, yang juga seorang Jurulatih bertauliah tarian dan kecergasan.
Acara Senamrobik itu dijalankan di Pusat Kokum Negeri Kem Malangang.
Peserta Senamrobik terdiri dari semua warga SK Malangang Baru dan Ahli Kelab Rukun Tetangga MANTAP.
Turut diadakan ialah perarakan/perjalanan sambil membawa bendera negeri Sabah dan bendera Malaysia dengan laungan merdeka yang membabitkan beberapa kampung berdekatan kawasan sekolah.
Selepas itu, para peserta berjalan kembali ke sekolah itu.
Menurut John Wayne, kerjasama jitu antara semua warga sekolah dan warga masyarakat setempat yang diwakili Kelab Rukun Tetangga MANTAP itu menunjukkan kesepakatan dan perpaduan yang sekian lama terjalin.
Beliau berkata pihaknya bercadang untuk mengadakan aktiviti yang serupa pada masa depan.
John Wayne berkata program itu, antara lain, bertujuan menyemai sikap mewarisi kecintaan kepada negara dan mempertahankan kemerdekaan dikalangan generasi muda iaitu pelajar-pelajar peringkat sekolah rendah.
“Saya berharap usaha murni ini dapat memupuk dan menyuntilk semangat kemerdekaan, terutama dalam bulan sambutan Hari Kemerdekaan ini,” katanya.
Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kelab Rukun Tetangga MANTAP yang membantu menjayakan aktiviti kemerdekaan itu.
Bagi pihak sekolah, John Wayne mengucapkan selamat Hari Kebangsaan yang disambut pada 31 Ogos ini.