KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) yang merupakan parti komponen gabungan Pakatan Harapan (PH) dijangka akan menggunakan logo PH
pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) susulan ketetapan yang dibuat Majlis Presiden PH semalam.
Mesyuarat MPP itu turut dihadiri Presiden UPKO
Datuk Wilfred Madius Tangau.
Menurut sumber, selain Parlimen Tuaran, UPKO menaruh harapan dapat bertanding kerusi Parlimen Beluran, Penampang, Sepanggar. Ranau dan Kota Marudu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan bersama Majlis Presiden PH, satu reka bentuk baharu logo juga akan dipertimbangkan bagi memberi imej dan nafas baharu dalam usaha gerak kerja PRU15.
“Majlis Presiden PH dalam mesyuarat bulanan semalam telah membuat beberapa ketetapan penting sebagai langkah persiapan dalam menghadapi PRU-15,” kata kenyataan media itu, hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, dalam menghadapi PRU15, Pakatan Harapan akan memberi fokus kepada usaha konsolidasi bagi memperkukuh Pakatan Harapan itu sendiri.
“Pakatan Harapan akan bertanding dengan satu logo, iaitu logo Pakatan Harapan. Satu reka bentuk baharu logo tersebut juga akan dipertimbang bagi memberi imej dan nafas baharu dalam usaha gerak kerja PRU15,” katanya.
Kenyataan itu dikeluarkan bersama Presiden Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (Amnah) HJ.Mohamad Sabu, Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) Lok Siew Fook dan Presiden UPKO Datuk Wilfred Madius Tangau.