KOTA BELUD: Bekas Ketua Menteri Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak mengajak rakyat Sabah menjiwai konsep Keluarga Malaysia yang menekankan pentingnya keutuhan perpaduan.
Beliau berkata konsep yang meniup semangat kekeluargaan itu kini semakin disenangi rakyat pelbagai kaum di negeri ini.
Katanya konsep Keluarga Malaysia yang mengutamakan sikap hormati-menghormati, toleransi, memaafkan dan belas kasihan adalah selaras dengan konsep “Rahmatan Lil Alamin”yang dibawa oleh Nabi Saw yang seharusnya diterapkan dalam diri, keluarga dan masyarakat.
‘Dalam hal ini, daerah kota Belud merupakan daerah yang saharusnya menjadi contoh untuk kita menerapkan nilai-nilai keluarga Malaysia.
“Ini kerana walupun pun berbilang kaum dan agama namun budaya dan sikap kerjasama dan bantu membantu sesama kaum itu telah menjadi amalan dari sekian lama yang telah diterapkan oleh nenek moyang dan ibu bapa kita yang terdahulu,” katanya.
Salleh yang juga Adun Usukan berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan maal Hijrah Peringkat Daerah Kota Belud di sini hari ini.
Beliau berkata sambutan Maal Hijrah tahun ini yang bertemakan ‘Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran” memperingatkan umat Islam tentang peristiwa hijrah Rasulullah Saw dari Mekah ke Madinah.
“Bertitik tolak daripada peristiwa hijrah tersebut, umat Islam haruslah mengambil ikhtibar bahawa ukhwah Islamiah yang kuat dan jitu adalah asas kepada perpaduan dan kesatuan untuk mencapai kemakmuran negara,” katanya.
Salleh kemudian menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah kepada Senan Jipar, Tokoh Khalid Al Walid (Azuan Bin Marjan @ Norjan) . Tokoh Fatimah Az Zahra (Rosnani Omar) dan Tokoh Abdul Rahman Auf (Rohani @ Juani Japrin).