TUARAN: Pusat Bantuan Guaman Wanita (PBGW) Jabatan Hal Ehwal Wanita (JHEWA) berjaya mengendalikan sebanyak 46 kes berkaitan dengan kekeluargaan dan penganiayaan dari sudut Syariah,Sivil dan Adat dalam tempoh 6 bulan pertama tahun ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Katanya, berdasarkan statistik terkini dari Januari 2022 hingga Jun 2022, sebanyak 40 kes dikendalikan di Kota Kinabalu, 4 kes di Kota Belud dan 2 kes di Sandakan.
βDiharapan menerusi usaha yang dilaksanakan oleh JHEWA ini, lebih ramai golongan wanita khususnya dapat dibantu untuk diwakili di mahkamah dalam kes-kes kritikal dan lama tidak selesai.
βPerkhidmatan Bantuan Guaman oleh JHEWA khas untuk wanita yang memerlukan pembelaan dan nasihat berkaitan perundangan, dan golongan hawa perlu mengetahui fungsi perkhidmatan yang diberikanβ, katanya ketika merasmikan Program βJerayawara Jelajah Sabahβ di Dewan Seri Sulaman, hari ini.
Program itu dianjurkan oleh Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) dan Jabatan Hal Ehwal Wanita (JHEWA) serta mendapat kerjasama daripada Pejabat Daerah, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).
Daerah Tuaran adalah destinasi kelima pelaksanaan program βJerayawara Jelajah Sabahβ yang bermula sejak bulan Julai lalu, selepas daerah Ranau, Tawau, Lahad Datu dan Putatan. Program itu akan diteruskan ke beberapa daerah lain.
Hajiji berkata, program βJerayawara Jelajah Sabahβ amat bermakna kepada rakyat bagi mengetahui lebih lanjut produk dan perkhidmatan yang diberikan oleh MPWS, JHEWA, KWSP, PERKESO dan AKPK yang berkaitan bantuan guaman, tanggungjawab majikan, hak pekerja, caruman dan penyelesaian masalah kewangan.
βKerajaan negeri komited,menyokong pelaksanaan program ini kerana ia turut membantu usaha kerajaan memberi lebih banyak maklumat yang bermanfaat kepada rakyat. Saya berharap program seperti ini akan terus mendapat sokongan daripada rakyat untuk lebih mengetahui produk atau perkhidmatan yang ditawarkan sepanjang program berlangsung oleh agensi-agensi yang terbabit”.
βSaya juga berharap agar semua info dan perkongsian yang telah disampaikan oleh agensi-agensi pada hari ini memberikan manfaat yang berguna kepada peserta program dan segala ilmu yang diperoleh ini dikongsikan kepada saudara mara dan rakan terdekatβ, tambahnya.
