NGO Islam disaran perkasa program rapatkan persaudaraan dengan agama lain

KOTA KINABALU: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam disaran terus memperkasa program ke arah merapatkan persaudaraan dan persahabatan dengan agama lain.

Advertisements

Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar, berkata langkah itu penting untuk memupuk semangat muhibah dan toleransi dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negeri ini.

Katanya, usaha sedemikian perlu terus disuburkan kerana ia selari semangat serta hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang diperkenal kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

“Semangat seperti ini sangatlah mulia dan terpuji kerana kita hidup dalam sebuah masyarakat berbilang kaum, agama dan keturunan,” katanya berucap merasmikan penutupan Bengkel Pelan Strategik Pembugaran Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) 2022-2024 di sini semalam.
Hadir sama Yang Dipertua USIA, Datuk Sapawi Ahmad.

Ghulam juga berkata semua pemimpin NGO Islam, sama ada besar atau kecil, mesti sentiasa berkolaborasi dan jangan bergerak secara bersendirian.

“Setiap kekuatan dan aset yang ada mesti digembleng bersama supaya langkah dan hala tuju dakwah dapat disatukan untuk menepati sasaran dan hala tuju masing-masing,” katanya, sambil berharap setiap strategi dan gerak kerja dakwah mesti sampai kepada kumpulan sasaran.

Dalam pada itu, beliau berharap USIA dapat menggerakkan program secara proaktif, efektif dan agresif untuk merealisasikan visi dan misi digariskan menerusi Pelan Strategik USIA 2022-2024.

“USIA perlu tampil dengan pendekatan kesederhanaan yang cintakan kedamaian dan toleran, sesuai dengan kedudukan Islam sebagai agama keamanan dan kedamaian, agama perpaduan dan penganut toleransi,” katanya.

Beliau optimis saf kepemimpinan baharu USIA yang mengabungkan golongan profesional, ulama dan agamawan, mampu membawa anjakan paradigma dalam rangka mencapai visi dan misi yang digariskan.

Ghulam mengakui bahawa USIA selama ini telah memainkan peranan cukup besar dan siginifikan dalam perkembangan dan kemajuan syiar Islam di Sabah.

Sementara itu, Sapawi dalam ucapannya berkata inilah kali pertama bengkel merangka pelan strategik diadakan sejak USIA ditubuhkan lebih 53 tahun lalu.

Katanya, ia selaras visi dan misi USIA ke arah memperhalusi, mengilap dan membugarkan aktiviti-aktiviti dakwahnya.

“Semua cadangan, pandangan serta idea-idea yang telah dilontarkan oleh peserta akan diteliti dan dijadikan dokumen,” katanya.

Sempena bengkel itu juga dilancarkan *Buletin USIA* keluaran sulung, yang akan diterbitkan setiap empat bulan.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles