KOTA KINABALU: Sabah yang mempunyai tarikan alam semulajadi yang cantik dan luar biasa berpotensi menjadi destinasi eko-pelancongan bertaraf dunia.
Keyakinan itu disuarakan Duta Besar Kesatuan Eropah (EU) ke Malaysia, Michals Rokas yang kagum dengan tarikan eko-pelancongan di negeri ini.
Beliau berkata berdasarkan pengamatannya, Sabah masih lagi bergelut untuk memulihkan ekonomi sektor pelancongan selepas pandemik Covid-19.
Bagaimanapun, katanya situasi itu memberi peluang kepada Sabah untuk mempromosi besar-besaran eko-pelancongan yang merupakan tarikan semula jadi dan berbentuk kekal.
Rokas berkata dengan adanya promosi dan pembukaan semula negara ini, beliau percaya lebih ramai pelancong Eropah akan melawat Sabah.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan kunjungan hormat ke atas Tuan Yang Terutama Yang di Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar bin Haji Mahiruddin di Istana Negeri, hari ini.
Rokas yang kini dalam rangka lawatan rasmi ke Sabah berkata perbincangan dengan Tuan Yang Terutama berkisar kepada usaha memperkukuhkan hubungan antara Kesatuan Eropah dan Malaysia, khususnya Sabah.
Katanya kerjasama yang dibincangkan meliputi bidang ekonomi, pengurusan bahan buangan dan tenaga yang boleh diperbaharui.
Sementara itu, Pengerusi AFFIN Bank Berhad, Dato Agil Natt yang juga mengadakan kunjungan hormat ke atas Tuan Yang Terutama Yang di Pertua Negeri Sabah, berkata AFfIN Bank bercadang untuk memperluaskan khidmat perbankan di Sabah.
Beliau berkata lawatannya ke negeri ini antara lain bertujuan meninjau potensi perniagaan perbankan.
Agil berkata AFFIN yang kini mempunyai lima cawangan di Sabah menyasarkan perniagaan yang berkaitan pembiayaan peribadi, pinjaman sewa beli, pinjaman perumahan dan pinjaman kepada industri kecil dan sederhana.
[…] Source link […]