Oleh: Jaafar Abd Wahid
KOTA KINABALU: Pemimpin-pemimpin UMNO di semua peringkat diingatkan supaya tidak menyekat mana-mana cawangan untuk bergerak aktif termasuk menyekat golongan muda dan profesional dari menyertai UMNO.
Ahli majlis tertinggi UMNO Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata, terdapat beberapa kes di beberapa bahagian ,yang menyekat cawangan-cawangan Umno antaranya menyekat cawangan berkenaan dari mengadakan mesyuarat perwakilan cawangan dan mengadakan aktiviti kerana tidak seteru dengan kepimpinan bahagian.
“Perkara ini ada berlaku di beberapa bahagian disebabkan pemimpin cawangan tidak menyokong kepimpinan Ketua UMNO Bahagian, menyebabkan cawangan tersisih dan tidak dapat mengadakan mesyuarat cawangan dan disekat hanya kerana ingin memperkukuhkan kedudukan sebagai Ketua bahagian,” katanya.
Bung berkata demikian ketika berucap merasmikan program Retreat UMNO negeri Melaka di Hilton Hotel Kota Kinabalu pada malam Isnin.
Hadir sama Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Melaka Datuk Seri Abd Rauf Yusoh dan Timbalan ketua UMNO Sabah Datuk Yakub Khan.
Bung yang juga Ketua Umno Sabah berkata perbuatan menyekat cawangan -cawangan yang tidak seteru itu bukanl satu amalan demokarasi yang sihat dalam parti, sebaliknya boleh menjejaskan kekuatan parti.
“Alhmdulilah di Sabah ,saya belum menerima laporan kes seperti ini, bagaimanapun sekiranya berlaku tindakan tegas akan dilakukan, termasuk mengantung bahagian berkenaan,” katanya.
Bung berkata, pemimpin Umno perlu mengubah persepsi berkenaan dan memberi keutamaan untuk memperkukuhkan parti demi kepentingan negara.
Beliau seterusnya mengingatkan pemimpin Umno supaya tidak menjadikan ancaman kedudukan dalam parti sebagai alasan bagi menyekat cawangan dan golongan muda, profesional menyertai parti kerana ia akan merugikan Umno sendiri.
Menurutnya jika kepimpinan peringkat bahagian dan cawangan sentiasa bekerja keras menjalankan kerja-kerja parti, mereka tidak perlu gusar akan kehilangan jawatan kerana anggota akan terus menyokong mereka.
Mengulas program Retreat Umno Melaka yang memilih Sabah sebagai lokasi program, Bung berharap pemukiman tersebut akan dapat memberikan sumber inspirasi baharu kepada pemimpin Umno Melaka untuk memperkukuhkan parti.
“Kita telah mengembalikan maruah UMNO dengan kemenangan besar semasa PRN Melaka, solidariti perjuangan ini perlu terus dipertingkatkan, saya beharap pemilihan Sabah sebagai lokasi program ini akan memberikan idea baharu kepada pemimpin UMNO Melaka, kerana UMNO Sabah mempunyai sejarah perjuangan yang berliku selepas PRU Ke-14 kerana ditinggalkan ramai pemimpin ,namun kerana masih ada pemimpin UMNO yang teguh dengan prinsip perjuangan ,UMNO Sabah bangkit kembali selepas PRK Kimanis dan PRN ke-16 dan sehingga kini UMNO masih bertapak di Sabah walau ada pihak mendakwa akan terkubur selepas PRU ke-14,” Jelas Bung.