Ellron ajak rakyat Sabah kibar jalur gemilang

KENINGAU: Menteri Belia dan Sukan Negeri Datuk Ellron Angin menyeru rakyat Sabah mengibarkan Jalur Gemilang di premis dan kediaman masiing-masing bagi menzahirkan semangat bersyukur sebagai rakyat Malaysia.

Beliau berkata langkah itu bagi menyemarakkan tanda kebanggaan rakyat kepada negara tercinta.

Ellron turut menekankan pentingnya rakyat memelihara dan mengekalkan perpaduan yang dikecapi selama ini.

“Janganlah kita mengambil mudah perihal menjaga martabat identiti dan imej negara dan sama-samalah kita memelihara perpaduan sebagai sebuah keluarga besar Malaysia.

“Didiklah anak-anak kita akan kepentingannya supaya semangat cinta dan sayangkan negara bukan sahaja kepada generasi masa kini tapi juga keluarga yang akan datang bak kata bidalan “melentur buluh, biarlah dari rebungnya”,” katanya.

Ellron berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Kembara Merdeka Keluarga Malaysia, di sini hari ini.

Beliau mengingatkan rakyat supaya lebih peka mengenai Jalur Gemilang.

“Sekiranya ada ternampak Jalur Gemilang yang telah lusuh atau koyak, ambillah inisiatif untuk membeli dan menukarkannya dengan yang baharu atau maklumkan kepada pemilik premis agar Jalur Gemilang tersebut dapat diturunkan dan diganti baharu,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles