KOTA KINABALU: Bahang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semakin terasa dengan pelbagai kenyataan menjurus kearah memantapkan persediaan akhir bagi menghadapi PRU15 yang amat mencabar.
Yang terbaharu, UMNO Sabah meminta semua bahagian parti itu mengemukakan “segera” lima nama calon untuk penilaian awal.
Bagi kawasan Parlimen Tuaran, beberapa nama pemimpin daripada pelbagai parti disebut-sebut berkemungkinan berpeluang besar untuk berantap dalam pentas arena politik yang dilihat sebagai “pertarungan sailang”.
Antara nama-nama utama yang disebut-sebut ialah penyandang yang juga presiden UPKO Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, ADUN Kiulu Datuk Joniston Bangkuai mewakili PBS dan bekas menteri persekutuan Datuk Abdul Rahman Dahlan yang dijangka bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN).
Sumber akar umbi turut menyebut beberapa tokoh lain termasuk Edward Linggu (STAR), Datuk Jahid Jahim (PBS), Dr Bonaventure Boniface Hunggim (PBS), Datuk Wilfred Bumburing (PBRS-BN) dan Jo-Anna Sue Henley Rampas (Warisan).
Yang terkini ramai penyokong akar umbi yang berharap pimpinan BN dapat menimbang kemungkinan mengemukakan calon baharu, dan antara nama yang disebut-sebut ialah Francis Fahir, bekas Ketua Penolong Pengarah RTM Sabah yang juga Ketua PBRS-BN Bahagian Pantai Dalit.
Pemerhati politik tempatan meramalkan Bersatu mungkin berkompromi tidak meletakkan calon sebaliknya akan memberi sokongan penuh kepada calon PBS bagi memastikan kemenangan rakan dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Pimpinan PBS sebelum ini sudah mengumumkan untuk bertanding bagi Parlimen Tuaran pada PRU15 yang dijangka diadakan tidak lama lagi.
Atas kertas, pemerhati politik sepakat mengatakan bahawa PBS berada di hadapan “sedikit” berdasarkan majoriti kemenangan bagi DUN Kiulu dan Tamparuli pada pilihan raya negeri Sabah yang lepas serta sokongan daripada Bersatu.
Selain itu, presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal baru-baru ini membayangkan bahawa parti itu akan meneliti kemungkinan tidak bertanding di kerusi PBS bertanding. Ini bermakna terdapat kemungkinan Warisan tidak bertanding di Parlimen Tuaran sekiranya PBS bertanding.
Namun terdapat juga pemerhati yang melihat penyertaan BN dan, sekiranya Datuk Abdul Rahman dicalonkan, sokongan pengundi khususnya di DUN Pantai Dalit dan Sulaman akan terbahagi kerana dipercayai masih ada penyokong tegar BN, termasuk DUN Kiulu dan Tamparuli.
Menurut mereka, kemasukan bekas anggota Parlimen Tuaran Datuk Wilfred Bumburing dan bekas presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA) Francis Fahir ke parti PBRS yang juga parti komponen BN dijangka memberi sedikit suntikan semangat dan kekuatan kepada jentera BN.
Tidak kurang juga pemerhati politik akar umbi yang yakin Madius mampu meraih kemenangan, sekaligus mempertahankan kerusi Parlimen Tuaran.
Keyakinan itu, menurut mereka, adalah berdasarkan pecahan pengundi yang menyaksikan terdapat sekitar 5,000 pengundi Cina di kawasan Parlimen Tuaran, ditambah penyokong setia PKR serta penyokong tegar UPKO, atau penyokong blok pembangkang.
Di samping itu, kebangkitan PH, khususnya PKR selepas Rafizi Ramli dipilih sebagai timbalan presiden PKR dijangka menambah sedikit kekuatan UPKO-PH dalam konteks politik nasional.
Ada di kalangan pemerhati politik ini menjangka pimpinan PBS mungkin memanfaatkan kelebihan yang ada pada Joniston sebagai calon yang pernah mencatatkan rekod menewaskan Madius di DUN Kiulu pada PRN lepas.
Jika ini benar-benar berlaku, maka pertarungan ulangan bakal mewarnai PRU15 di pentas kerusi Parlimen Tuaran.
Berdasarkan situasi semasa, pemerhati politik berpendapat PH, PBS dan BN mempunyai peluang yang “seimbang” untuk menang kerusi Parlimen Tuaran.
“Dulu isu berkaitan pendatang tanpa izin dimainkan termasuk dakwaan menternak PTI, kumpit-kumpit, dan juga isu perjanjian M63.
“Tapi kali ini, pengundi berpeluang menilai dan meneliti kebenaran janji-janji yang dilafazkan semasa PRN lepas…PRU15 adalah pentas permainan politik yang berbeza iaitu membentuk kerajaan pusat.
“Calon pesaing tidak seharusnya terlalu yakin menang kerana penyandang Madius juga bukan calang-calang kehebatannya berhujah di Dewan Rakyat,” kata pengundi muda Erna Dominic.
Menurut Erna, rata-rata pengundi akan menyokong calon parti yang mempunyai tahap keberangkalian boleh menang untuk membentuk kerajaan pusat yang lebih jelas dan besar.
“Populariti parti atau individu tidak semestinya jaminan menang untuk pilihan raya umum membentuk kerajaan pusat, seperti yang berlaku sebelum ini,” katanya.
UPKO merupakan parti kompomen gabungan PH. Turut menganggotai PH ialah PKR, DAP dan Amanah.
Dalam hal ini, ramai penyokong akar umbi menjangka Madius mungkin akan bertanding atas tiket PH yang lebih sinonim kepada perjuangan membentuk kerajaan persekutuan.
Pemerhati politk berpendapat selain isu pemberian dokumen kepada PTI untuk membolehkan mereka tinggal lama di Sabah dan perjanjian MA63, isu-isu yang sedang hangat diperkatakan di peringkat persekutuan termasuk skandal LCS mungkin boleh mempengaruhi pola atau arah sokongan pengundi terutama pengundi atas pagar dan orang muda.
Kedua-dua parti UPKO dan PBS pernah menganggotai BN. UPKO meninggalkan BN untuk bergabung dengan Warisan Plus membentuk kerajaan negeri Sabah selepas BN kalah dalam pilihan raya negeri 2018.
PBS pula keluar BN sehari selepas penamaan calon PRU 1990 dan masuk semula BN pada penghujung 1999 sebelum meninggalkan semula BN selepas kerajaan negeri Warisan Plus dibentuk pada tahun 2018.
Untuk rekod, Madius memenangi kerusi parlimen Tuaran dengan undi 22,494 mengalahkan pesaingnya pada PRU14.
Mengikut data tidak rasmi jumlah pemilih yang dikemaskini setakat Jun selepas golongan remaja undi18 dibenarkan mengundi, jumlah pengundi bagi parlimen Tuaran telah meningkat dari 57,382 kepada 81,855.
Berikutan itu, pemerhati berpendapat golongan Undi18 turut berperanan menentukan nasib calon-calon yang bertanding di kawasan itu pada PRU15.
Apapun persaingan bagi kerusi Parlimen Tuaran kali ini dijangka hebat, menarik dan mendebarkan.