TUARAN: Ada yang suka melancong ke kota besar, ada pula yang lebih selesa bermandi peluh mendaki gunung dan meredah arus sungai deras.
Begitu juga dengan beberapa petugas media mewakili Kelab Akhbar Kebangsaan dari semenanjung yang mengakui beruntung dapat menikmati keindahan semula jadi di Sabah yang terkenal dengan nama jolokan Negeri Dibawah Bayu.
Mereka merupakan antara 50 petugas media dari luar Sabah, termasuk enpat dari Kelab Akhbar Pulau Pinang dan tujuh dari media Sarawak yang menyertai program kunjungan muhibah dan sukan media yang julung kali diadakan di negeri ini.
Salah satu aktiviti yang memukau para peserta program itu ialah aktiviti berakit atau berkayak di Sungai Kiulu pada Sabtu.
Mengakui kali pertama mencuba cabaran seumpama itu, petugas BERNAMA Kuala Lumpur, Maznah Abu Bakar berkata dia tidak menyangka pengalaman berakit amat menyeronokkan dan puas meskipun pada mulanya agak bimbang dengan arus sungai yang deras.
“Sungai di Kiulu ini bersih dan belum lagi tercemar. Orang-orang di sini pun baik-baik belaka.
“Kalau ada peluang saya nak datang ke sini (Kiulu) lagi,” katanya.
Seorang lagi petugas dari BERNAMA KL, Hamdanawal Ahmad Sukri berkata aktiviti menyusuri arus deras sungai amat mencabar terutama detik mengendalikan rakit.
“Saya enjoy sekali dan gembira berpeluang berakit di sungai Kiulu.
Kiulu merupakan sebuah pekan kecil yang berada di bawah daerah Tuaran, Pantai Barat Sabah, yang terkenal sebagai destinasi pelancongan luar bandar, terutama aktiviti berakit air (water rafting activities).
Pekan Kiulu
Gambar Hiasan Pusat Eko Pelancongan Kandaki, Mantob Kiulu
“Tinggal di kota besar di Kuala Lumpur, tapk ada peluang aktiviti berakit..inilah keunikan eko pelancongan Kiulu,” kata Mohd Farhan Mustafa Kamal yang mengetuai pasukan bowling BERNAMA.
Wartawan TV3 Hazwan Ismail pula berkata
dia sangat teruja dapat mengenali penduduk kampung dari suku kaum Dusun Kiulu.
“Saya lihat banyak keunikan daripada segi kebudayaan di sini. Saya datang dari Kuala Lumpur cuma tau di bandar-bandar sahaja…hari ini masuk ke kampung pendalaman..orang di sini sangat menyantuni tetamu dan mereka suka tetamu datang,” katanya.
Turut hadir bagi memeriahkan program aktiviti berakit itu ialah Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Joniston Bangkuai.
Joniston yang juga anggota Dewan Undangan Negeri Sabah kawasan Kiulu merupakan bekas presiden Persatuan Wartawan Sabah.
Jumaat lepas, rombongan media itu telah menghadiri taklimat pembangunan negeri Sabah sebelum diraikan dalam satu majlis makan malam.
Pada Ahad, rombongan berkenaan akan beradu nasib bagi merebut gelaran juara dalam pertandingan bowling dan bola sepak yang turut disertai pasukan pilihan media Sabah